SEREMBAN: Sebanyak 94.8 juta pil captagon iaitu dadah rekreasi yang popular di Asia Barat bernilai RM5.2 bilion disorokkan dalam roda castor dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 15 Mac lalu.
Rampasan dadah jenis amphetamie seberat 16 tan itu adalah kejayaan terbesar dalam sejarah Kastam setakat ini. Difahamkan dadah tersebut sebelum ini banyak digunakan di Arab Saudi, Syria, Iran dan Lubnan.
Penganas Daesh juga didakwa banyak mengambil pil captagon. Ini kerana pengambil dadah tersebut didakwa akan menjadi berani dan sebab itu mereka yang mahu berjihad akan mengambil captagon.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan tersebut dilakukan atas maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Susulan itu, menurut beliau, sepasukan anggota Kastam Cawangan Narkotik berjaya menyita tiga kontena berukuran 40 kaki di Pelabuhan Klang, Selangor.
Turut membantu operasi itu ialah Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) .
“Siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut tiba dari sebuah negara di Asia Barat dan dipercayai dalam proses dihantar ke sebuah negara di Asia Timur.
“Rampasan dadah ini adalah rampasan terbesar yang pernah direkodkan oleh kastam,” kata beliau pada sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Narkotik Kastam di Nilai di sini semalam.
Abdul Latif memberitahu, pihak penghantar mengikrar barang berkenaan sebagai roda castor dan menggunakan bungkusan kotak yang sama.
“Isi dalam castor itu ialah pil dan saya difahamkan setiap satu castor dimuatkan sebanyak 1,000 pil bernilai RM54,000.
“Maklumat yang kami terima kontena-kontena berkenaan transit di Malaysia sebelum dihantar ke negara lain,” kata beliau.
Jelasnya, kastam akan menerukan kerjasama dengan negara-negara lain dan polis untuk membanteras kemasukan atau transit barang terlarang.
Kata beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. – UTUSAN









