Nikotin vape: Bertindak atau tunggu dan lihat?

Nikotin vape: Bertindak atau tunggu dan lihat?

ISU keracunan dan ketagihan vape dalam kalangan bawah umur masih tidak terkawal. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMADAI menoleh semula peristiwa pahit April 1, 2023 apabila pusingan-U dibuat dalam soal ‘menghalalkan’ racun cecair dan gel nikotin bagi anak-anak Malaysia berusia 18 tahun ke bawah.
Ia terserlah apabila keputusan Lembaga Racun ditolak bulat-bulat menyalahi prinsip etika serta ikrar pengamal kesihatan sedunia melindungi hak kesihatan awam rakyat sebagai amanah yang tidak boleh diketepikan. Apa lagi disokong pula oleh banyak badan perubatan dan kesihatan profesional seperti Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS) yang turut tidak setuju dengan keputusan pusingan-U tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ternyata lagi, apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa langkah sedemikian akan melahirkan satu lagi kelompok penagih baharu. Ini bukan satu perkara baharu, tetapi kerana keputusan pusingan-U itu, bilangan penagih tegar merentas generasi berlipat-lipat kali ganda, maka ungkapan “generasi” oleh WHO menggambarkan kegetiran yang dahsyat.

Sehingga terpaksa dibawa ke mahkamah oleh tiga badan profesional untuk semakan bagi menghindari bakal jutaan nyawa anak-anak tidak berdosa diragut akibat keracunan nikotin vape luar kawalan. Di samping menjadi masalah penagihan tegar terus memuncak. Proses ini sudah pun bermula hampir setahun lalu sebagai satu musibah yang tidak lagi diragui.

PEMBELOT TEGAR

Ini dibuktikan dengan pautan rapat terhadap industri tembakau dan vape sebagai pembelot tegar tanpa berhati perut. Paling mengejutkan ia terbongkar apabila Timbalan Menteri Kesihatan menerangkan dalam Parlimen terkini bahawa pemain industri tembakau dan vape menemui ahli-ahli Parlimen pada Ogos lalu bertujuan kononnya memberi penjelasan.

Sebelum ini, janji-janji untuk menyelesaikan isu tersebut dalam sidang-sidang Parlimen terdahulu tergendala berapa kali. Akhirnya, dibentangkan pada bulan November 2023, tetapi dengan keputusan amat mengecewakan. Yakni isu keracunan dan ketagihan bawah umur masih tidak terkawal seperti mana diduga sesetengah pihak. Apa pun, paling mengejutkan ia berkait dengan “pengaruh melobi” dari pihak industri, bukan seperti sangkaan hujah perundangan serta pelaksanaan.

Maksudnya, kegagalan melindungi hak rakyat dari keracunan nikotin vape terus meruncing apabila Rang Undang-undang Generasi Penamat (GEG) tewas. Seolah-olah sudah terancang. Justeru mengesyaki ada unsur-unsur tidak amanah dan kompromi bersengaja dalam cetusan kontroversi nikotin vape.

Dusta bulat-bulat, berlarutan sehingga saat ini. Parlimen turut terpedaya senyap-senyap sedangkan pada hakikatnya kesannya lebih mendekati genosid di Gaza. Bagaimana? Cecair nikotin membunuh para penggunanya, lambat laun.

Walaupun tidak secepat pengeboman, ia mengakibatkan keseksaan serta derita sepanjang hidup, melalui pelbagai jenis penyakit memautkan. Seperti di Gaza, ia lebih menyasar kanak-kanak apabila penjualannya tidak lagi terkawal di bawah Akta Racun 1952. Ini sudah pun menular hampir setahun dengan meluas mengikut laporan media awam serta aduan guru-guru sekolah khususnya.

Seperti di Gaza juga, tiada tempat berlindung angkara langkah pusingan-U terdahulu, penjualannya merata-rata, termasuk gerai dan warung Ramadan. Berpotensi membunuh nyawa jutaan mereka berusia muda, terutamanya dalam kalangan mereka tiada persekolahan, berekonomi status rendah, terutama lelaki.

Dengan kata lain, umpama genosid di Gaza tetapi lebih tertipu kepada masyarakat Melayu dan ummah Islam di Malaysia, melibatkan maut pra-matang yang ditempah-tempah. Lantas bakal mengukir tragedi seantero apabila Malaysia ura-ura menjadi pengeksportan racun nikotin vape terbesar dunia mengikut satu syarikat pelabur yang berminat ke arah ini.

Hanya bezanya, di Gaza kemusnahan berlaku di tangan musuh ketat. Di Malaysia, datangnya kendiri terhadap rakyat sendiri, serumpun. Dengan adanya pengakuan bersubahat dengan industri pembelot terang-terangan, timbul soalan cepumas: Di manakah kepemimpinannya seperti yang dibangkitkan Perdana Menteri?

Mujurlah masih ada satu lagi harapan, mungkin yang terakhir. Berbaki beberapa hari lagi sebelum ulang tahun 1 April, bagi membuktikan bahawa kepemimpinan negara dan kementerian benar-benar mampu menidakkan kekejaman isu nikotin vape.

Menolak lobi industri. Apa lagi menegakkan amanah. Nasib langkahnya mudah sahaja. Buat pusingan-U semula supaya menyenaraikan cecair dan gel nikotin kembali sebelum April 2024; sekali gus menyangkal dakwaan bersekongkol dengan industri pembelot.

Jika dahulu menteri berani buat pusingan-U, sekarang wajarnya lebih berani lagi dalam menghentikan kekejaman nikotin untuk menyelamat jutaan nyawa tanpa lengah-lengah lagi.

Sebagai contoh pemimpin New Zealand dicemburui dalam hal ini. Malaysia bagaimana? Masih tunggu dan lihat, menghitung mayat! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN