Perintah Ulung Panglima Tentera Darat yang menekankan peningkatan hubungan tentera dengan masyarakat diterjemahkan oleh pasukan Briged Kedua Infantri (2 Bgd). Ia menerusi misi membantu penduduk setempat dengan menggunakan kemahiran serta kepakaran yang dimiliki.
Dengan bantuan yang diberikan, penduduk Kampung Belum Baru di Lenggong, Perak kini mampu menarik nafas lega. Ia apabila sebuah jambatan sementara siap dibina bagi memudahkan perjalanan mereka untuk ke pekan Lenggong berbanding sebelumnya apabila terpaksa melalui jalan raya sejauh empat kilometer.
Jambatan Bailey sepanjang kira-kira 33 meter itu siap dibina oleh sepasukan anggota Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) dan dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta serta Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Lenggong.
Kerja-kerja pemasangan jambatan itu bermula 1 Mac lalu yang mengambil masa kira-kira tiga hari untuk disiapkan.
Bagaimana pun sesuai dengan fungsinya sebagai jambatan medan atau jambatan semasa perang, maka pembinaannya hanyalah sementara sehingga sebuah jambatan baharu dibina oleh pihak JKR yang dijangka siap pada Oktober inii.
Pemasangan jambatan itu yang telah dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Ia juga adalah inisiatif Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Panglima 2 Bgd, Brigadier Jeneral Mohd. Azmurin Mat Khalib berkata, pemasangan jambatan itu bagi menghubungkan penduduk kampung dengan pekan Lenggong dan kawasan sekitar sekali gus dapat memudahkan mereka yang selama ini terpaksa melalui jalan agak jauh.
“Pelaksanaan projek jiwa murni ini adalah secara kolaborasi bersama Tentera Darat (TD) dan JKR Daerah Hulu Kinta untuk menyiapkan jambatan sementara bagi memudahkan pergerakan dan urusan penduduk kampung untuk keluar ke jalan utama Kuala Kangsar-Gerik.
“Bantuan kerja-kerja pemasangan yang diberikan ini adalah selari dengan tonggak kelima perintah ulung Panglima Tentera Darat,” ujarnya.
Terdahulu, Mohd. Azmurin menyempurnakan majlis penyerahan jambatan Bailey kepada Penghulu Mukim Kenering, Omar Fazilah Mohamad di Kampung Belum Baru.
Omar Fazilah yang mengucapkan jutaan terima kasih dan amat berbesar hati kepada Tentera Darat khususnya pihak 2 Briged dan warga 2 Skn RAJD kerana membantu menyiapkan jambatan yang amat diperlukan oleh penduduk kampung.
“Disebabkan tiada jalan pintas maka penduduk kampung terpaksa melalui jalan jauh untuk ke pekan Lenggong, jadi dengan siapnya jambatan ini untuk dilalui kenderaan ringan ia sangatlah memudahkan,” ujarnya.
Misi Projek Jiwa Murni 2 Bgd ini turut menyaksikan pasukan berkenaan membantu membina sebuah tandas baharu di dalam rumah untuk seorang warga emas di Kampung Sungai Rokam, Ipoh pada 13 Mac lalu.
Ia bagi menggantikan tandas lama di luar rumah Fatimah Ismail, 77, untuk memudahkan beliau menggunakannya terutama pada waktu malam. Ia dibina secara kerjasama inisiatif antara Panglima 2 Bgd dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Kerja-kerja yang disiapkan dalam masa dua hari itu melibatkan 10 anggota 2 Skn RAJD dan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Ipoh manakala kos pembinaan sebanyak RM2,000 dibiayai oleh MBI.
Fatimah ketika ditemui mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana masih ada pihak yang mengambil berat dengan masalah berkenaan.
“Alhamdulillah, terima kasih pada semua yang membantu untuk pembinaan tandas baharu ini yang lebih selesa serta mudah.
“Selepas ini mak cik tidak perlu bimbang untuk ke tandas pada waktu malam,” ujarnya yang tinggal bersendirian sejak kematian suami lapan tahun lalu.
Fatimah yang semasa sihat bekerja sebagai pembantu kantin kini hanya bergantung hidup dengan wang bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan.

SANTUNI VETERAN ATM
Di samping membantu masyarakat awam, kebajikan terhadap veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut tidak dipinggirkan apabila 2 Bgd turut terlibat dalam projek membina rumah bagi golongan wira negara ini.
Pada 13 Mac lalu, Dr. Shamsul Anuar; Mohd. Azmurin dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohamad Ariff Zainol turut sama menyempurnakan Majlis Serah Kunci Rumah Projek Jiwa Murni (PJM) – Baiti Jannati di Kampung Rambong, Lenggong.
Pelaksanaan projek ini adalah kolaborasi bersama TNB dan TD bagi membantu salah seorang veteran ATM iaitu Zulkubli Shikh Othman yang ditimpa musibah kebakaran rumah pada 20 Julai tahun lepas.
Seramai seorang pegawai dan 22 anggota 2 Skn RAJD melaksanakan projek pembinaan rumah ini yang disiapkan dalam masa 50 hari bermula 11 November lalu yang turut melibatkan pasukan Rejimen 70 Pakar Janaelektrik RAJD (Askar Wataniah).
Anggota 70 Rejimen Pakar Janaelektrik RAJD (Askar Wataniah) ini mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik dan berfungsi memastikan bekalan elektrik sentiasa berdaya harap semasa aman atau pun semasa darurat.
Kos keseluruhan projek rumah berkeluasan kira-kira 1,000 meter persegi ini yang dilengkapi ruang tamu, dapur, tiga bilik tidur, dua tandas dan anjung rumah ini disumbangkan oleh TNB melalui wang zakat sebanyak RM56,080.

Sementara itu, Mohamad Ariff memberitahu, sumbangan kediaman baharu itu diharap dapat memberi kegembiraan bagi Zulkubli sekeluarga, lebih-lebih lagi bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat TNB dalam menghulurkan bantuan pembinaan.
“Selain daripada kerjasama dengan ATM, TNB turut melaksanakan Projek Baiti Jannati (PBJ) untuk membaiki, membina dan membiayai pembelian kediaman golongan yang memerlukan, termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan asnaf,” ujarnya.










