KUALA LUMPUR: Pengeluar kalsium karbonat bergred tinggi, Zantat Holdings Berhad membuat penampilan sulung yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 40 sen, premium 15 sen berbanding harga rujukan tawaran awam permulaannya (IPO) iaitu 25 sen sesaham.
Pada 40 sen sesaham, kumpulan itu dinilai pada kira-kira 13 kali nisbah harga pendapatannya, berdasarkan keuntungan bersih RM6.77 juta dan pendapatan asas sesaham tiga sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Permodalan pasarannya berjumlah RM112 juta, berdasarkan modal saham 280 juta.
Pengarah Urusannya, Ivan Chan berkata, pihaknya menjangkakan industri sarung tangan pulih pada separuh kedua tahun ini, yang boleh menjana pendapatan tambahan untuk syarikat itu memandangkan produknya digunakan untuk industri sarung tangan.
“Kami menjangkakan permintaan daripada India akan kekal kukuh, kerana negara itu menyumbang 60 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan.
“Selain itu, sebatian bioplastik sulung syarikat yang dihasilkan untuk filem pembungkusan kompos oleh cabang polimer yang baru ditubuhkan, Zaneco Sdn. Bhd. telah dikomersialkan pada suku ini, membuka jalan ke arah produk dan perkhidmatan yang lebih hijau.
“Kami komited ke arah mewujudkan jejak kami dalam rantaian bekalan sebatian bioplastik untuk menambah nilai lagi kepakaran kami yang dibangunkan selama bertahun-tahun dalam industri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyenaraian di Bursa Malaysia, semalam.
Jelas beliau, aktiviti perniagaan teras kumpulan terus mendapat manfaat daripada pasaran domestik dan eksport, yang kedua-duanya menyumbang dengan ketara kepada pendapatan
dan membolehkan kumpulan kekal berdaya tahan melalui kitaran pasaran.
“Bagi produk bioplastik baharu, kami bekerjasama dengan rakan kongsi strategik yang menghasilkan beg sampah kompos untuk menerokai pasaran seperti Korea Selatan, Australia dan New Zealand,”
Menurut beliau, perluasan Zantat ke dalam penyebatian bioplastik adalah sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap ekonomi kitaran.
“Zantat akan mengambil langkah yang betul untuk memastikan kemampanan produk dan perkhidmatan kami, selain meneroka cara baharu untuk penawaran kami kekal relevan
dalam era penyahkarbonan,” ujarnya.
Sebelum debut pasarannya, Zantat telah terlebih langgan sebanyak 130.15 kali.
Ia menarik RM459.01 juta nilai pesanan untuk saham IPOnya daripada orang awam, kira-kira 33 kali ganda daripada RM14 juta yang disasarkan untuk diperoleh daripada IPOnya.
M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. – UTUSAN










