Ahli perniagaan lulusan Phd didakwa sebabkan kerugian cecah RM1.3 juta

Ahli perniagaan lulusan Phd didakwa sebabkan kerugian cecah RM1.3 juta

G. CHANDRASEGARAN (dua dari kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang ahli perniagaan berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang deposit haram dan menipu seorang lelaki untuk menyertai skim pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian hampir RM1.3 juta, beberapa tahun lalu.

Tertuduh, G. Chandrasegaran, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nor Aini Yusof dan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa telah menerima wang deposit berjumlah RM820,000 tanpa suatu lesen sah daripada seorang lelaki berusia 53 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Teratai Indah, di sini antara pukul 10.33 pagi hingga 10.44 pagi, pada 28 Disember 2017 yang lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta yang sama iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Chandrasegaran juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan lain iaitu memperdaya mangsa yang sama untuk menyertai satu skim pelaburan tidak wujud.

Berdasarkan pertuduhan, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM475,000 apabila menyerahkannya sendiri kepada tertuduh menerusi beberapa pindahan wang ke dalam akaun bank milik tertuduh iaitu antara 28 Januari 2018 hingga 5 Mac 2018.

Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Qatrin Nada Harun memohon agar mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM100,000 kepada tertuduh dengan beberapa syarat tambahan manakala seorang lagi DPP iaitu Nurameera Shahrul Azrin meminta jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan di Mahkamah Majistret.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar jumlah jaminan minimum diberikan dengan alasan tertuduh yang menghidap penyakit asma dan diabetes perlu kerap menjalani pemeriksaan kesihatan selain perlu menanggung isteri serta empat anak berusia enam hingga 27 tahun.

Hakim Nor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin selain meminta tertuduh untuk melapor diri di balai polis berhampiran dengan kediamannya pada tarikh 15 haribulan setiap bulan selain dihalang daripada mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Pada masa yang sama, Majistret Siti Zulaikha pula menetapkan jaminan sebanyak RM32,000 bagi semua pertuduhan serta mengarahkan agar tertuduh dikenakan syarat tambahan sama seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen.

Kes akan disebut semula pada 26 April depan untuk serahan dokumen.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×