Adabi teruskan amalan agih bubur lambuk sempena Ramadan

Adabi teruskan amalan agih bubur lambuk sempena Ramadan

ADABI Consumer Industries Sdn Bhd (ACISB) meneruskan amalan tradisi mengagihkan kira-kira 3,600 pek bubur lambuk di bangunan JANM, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat perencah makanan, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ACISB) meneruskan amalan tradisi mengagihkan kira-kira 3,600 pek bubur lambuk secara percuma kepada kumpulan penjawat awam dan komuniti setempat sempena bulan Ramadan tahun ini. 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ACISB, Syed Izmal Syed Manshor berkata, penganjuran program yang sudah memasuki tahun keempat itu bukan sahaja untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi bertujuan memupuk rasa syukur dalam menyantuni masyarakat.

Menurutnya, selain mempromosikan produk-produk keluaran Adabi, program sedemikian juga merupakan platform terbaik untuk mereka berkongsi rezeki.

“Tahun ini adalah tahun keempat kami berkolaborasi dengan Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan MyAngkasa Amanah Berhad untuk memasak bubur lambuk.

“Jika dahulu kita bermula dengan hanya enam periuk, tapi kini sudah 12 periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga kementerian serta masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bangunan JANM di sini hari ini.

Menurut Syed Izmal, selain Putrajaya, Adabi turut menganjurkan program agihan bubur lambuk di beberapa lokasi antaranya di Selangor, Kuala Lumpur serta Johor sempena bulan Ramadan. 

Berkongsi mengenai perancangan pada tahun seterusnya, beliau memaklumkan, Adabi turut bercadang untuk mengembangkan program CSR mereka bersama kementerian-kementerian lain.

Disamping itu, Syed Izmal berkata, Adabi juga bakal mengeluarkan produk terbaharu iaitu pes bubur lambuk bagi memenuhi permintaan pengguna yang ingin memasak sendiri juadah istimewa itu di rumah.

Katanya, bagaimanapun, produk tersebut masih berada di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

“Sasaran kita mungkin dua tahun lagi untuk dilancarkan memandangkan Adabi amat mementingkan kualiti dalam setiap produk yang dihasilkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×