Sekolah di Terengganu dinasihat hadkan aktiviti luar kelas - Utusan Malaysia

Sekolah di Terengganu dinasihat hadkan aktiviti luar kelas

BEBERAPA murid menutup kepala menggunakan beg dan payung berikutan cuaca panas ketika pulang dari Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Semua sekolah di Terengganu dinasihat mengehadkan aktiviti di luar kelas semasa cuaca kering dan panas melanda negara ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, semua pelajar juga dibenarkan memakai pakaian sukan supaya lebih selesa sepanjang proses pembelajaran di sekolah.

Menurutnya, pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri untuk diambil tindakan susulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita pantau suhu cuaca panas harian yang direkodkan di Terengganu untuk mencegah berlakunya sebarang perkara tidak diingini.

“Tiada aktiviti luar diadakan ketika ini dan kita jangka ia akan ditangguhkan hingga selepas raya nanti bergantung kepada tahap cuaca semasa.

“Setakat ini, tiada sebarang kes strok haba berlaku dalam kalangan murid dan pelajar seluruh Terengganu setakat ini,” katanya  kepada pemberita di sini, hari ini.

Utusan Malaysia 25 Mac lalu nelaporkan, Felda Tenang di Besut adalah kawasan yang merekodkan suhu tertinggi harian antara 35.3 darjah Celcius hingga 35.5 darjah Celcius pada bulan ini.

Berdasarkan rekod Jabatan Meterologi, kawasan-kawasan lain di Terengganu pula secara puratanya merekodkan suhu sekitar 32 darjah Celcius setiap hari.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, pengurusan setiap sekolah juga diingatkan agar memastikan stok bekalan air minuman sentiasa mencukupi di sekolah mereka untuk kegunaan murid-murid terutama Tahap Satu yang masih belum berpuasa.

“Galakkan murid-murid Tahap Satu (yang tidak berpuasa) ini membawa bekal air minuman ke sekolah untuk mengelak dehidrasi dan pastikan sumber minuman air bersih sentiasa mencukupi di sekolah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini