“SAYA letak kesalahan ini (terlanjur) atas bahu sendiri, bukan orang lain.”
Itu pengakuan Ema (bukan nama sebenar) yang merupakan pelatih di pusat perlindungan dan bimbingan remaja perempuan, Raudhatus
Sakinah (RS).
Baru-baru ini Utusan Malaysia, berkesempatan menyantuni pelatih-pelatih di rumah perlindungan yang terletak di Selangor itu.
Dalam kunjungan itu saya turut berkesempatan mendengar kisah perjuangan anak-anak remaja itu untuk keluar dari masa lalu yang hitam, kepada kehidupan yang lebih baik.
Antara yang berkongsikan cerita adalah Ema. Ema dimasukkan ke rumah perlindungan dengan kerelaan dirinya sendiri kerana sedar dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesalahan yang dilakukan.
Di awal usia, Ema mengakui dirinya terlalu mengikut kata hati dan keinginan untuk mencuba terlalu menebal di dalam diri.
Lalu, tanpa berfikir panjang dia menyerahkan ‘harta’ paling bernilai kepada teman lelaki atas dasar cinta sehingga membenihkan hasil.
“Keluarga tahu saya hamil selepas keluarga teman lelaki datang berjumpa dan menceritakan segalanya kerana sebelum itu saya maklumkan kepada teman lelaki.
“Ibu bapa beri saya dua pilihan sama ada berkahwin atau masuk ke pusat perlindungan. Jadi, saya lakukan solat istikharah dan petunjuk yang saya dapat adalah untuk masuk ke pusat perlindungan,” kongsinya.
Katanya, keputusannya itu diambil kerana dia tidak yakin mampu membina sebuah keluarga dalam keadaan yang sedemikian.
“Saya tidak jamin saya akan dapat kehidupan yang baik sekiranya ambil keputusan untuk berkahwin.
“Jadi, dengan rela hati saya mahu dimasukkan ke RS untuk mengubah diri menjadi insan yang lebih baik.
“Dalam tempoh dua bulan di sini saya sedar betapa pentingnya keluarga kepada saya kerana walaupun saya dalam kesusahan dan sudah melakukan perkara yang tidak baik, mereka masih membantu sedangkan selama ini saya tidak endahkan teguran mereka,” katanya dalam nada kesal.
Pengajaran paling bermakna dalam hidupnya adalah untuk sentiasa menghargai ibu bapa selagi masih ada kerana tidak ada yang boleh menandingi kasih sayang seorang ibu atau ayah.
Kerinduan yang amat mendalam kepada ibu dan ayahnya kerana terpaksa tinggal berjauhan menjadi penguat semangat Ema untuk terus bangkit menjadi anak yang membanggakan orang tua.

BELAJAR KAWAL EMOSI
Bagi seorang lagi pelatih yang hanya ingin dikenali sebagai Ana (bukan nama sebenar) pula, darah muda menyebabkan jiwanya memberontak.
Masih di bangku sekolah, namun Ana sudah berani mempunyai teman lelaki, bersosial tanpa batasan malah kerana sifat ingin tahu membuak dalam diri membuatkan dia juga berjinak-jinak dengan rokok dan bahan terlarang.
Berikutan sikap liarnya itu, ibu bapanya membuat keputusan untuk memasukkannya ke RS bagi mengelakkan dia daripada terus hanyut lebih jauh.
“Pada awalnya saya agak terkejut kerana tidak dimaklumkan sebelum itu tetapi lama-kelamaan saya sudah boleh menerima kenyataan, bahawa inilah jalan yang perlu saya lalui.
“Melalui program-program di sini saya dapati saya sudah semakin pandai mengawal emosi, tidak lagi jadi seorang yang cepat baran dan belajar untuk sabar.
“Bila keluar nanti saya merancang untuk sambung belajar, bekerja dan sambilsambil itu membantu keluarga,” kata gadis berusia 17 tahun itu.
Kejar duniawi punca tersasar
KETUA Pegawai Eksekutif RS, Rosmawati Zainal, menjelaskan peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja banyak berpunca daripada sikap yang terlalu mengejar duniawi.
Beliau yang mesra disapa sebagai Ummi Rose turut mendedahkan menerima lebih kurang 10 panggilan setiap hari untuk kemasukan ke pusat berkenaan.
“Selalu saya nampak paling banyak sekali terjadi kerana mereka tidak mahu ketinggalan, hendak mengikut trend dan mencari duit dengan cara yang mudah.
“Ada kes yang kami terima remaja berusia 14 tahun menjual gambar tidak senonoh di media sosial. Bila kita tanya kenapa buat
macam itu, katanya kerana nak beli Iphone.
“Inilah keseronokan dunia yang anak-anak ini tidak boleh tahan. Mereka rasa duit adalah segalagalanya dan sanggup buat apa saja untuk memperolehnya,” katanya.
RS menguruskan 35 orang pelatih dalam satusatu masa dan menerima pelbagai kes melibatkan remaja bermasalah sosial antaranya ketagihan pornografi , ketagihan seks dan hamil luar nikah.
Pelatih perlu menjalani bimbingan minimum selama dua tahun dengan pelbagai program disediakan seperti kelas akidah, akhlak, Al-Quran, sirah dan pembentukan sahsiah diri.
Istimewa Ramadan, pelatih juga akan diajar untuk mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan seperti tadarus dan sebagainya.
Menggalas jawatan sebagai ‘ibu’ kepada lebih 1,000 pelatih sejak RS ditubuhkan pada 1998, Ummi Rose berkata dia masih mengekalkan
silaturahim bersama alumni pusat itu yang kebanyakan sudah menjadi guru, pensyarah, jururawat dan memiliki perniagaan sendiri.
“Terutamanya ketika Ramadan, mereka pasti akan hubungi kami dan beritahu bahawa mereka rindu dengan suasana Ramadan di sini seperti berbuka puasa beramai-ramai, bertadarus, masak bersama-sama dan sebagainya,” kongsinya.
Belajar pornografi daripada ibu bapa
PENGURUS Operasi RS, Nur Baidura Baharudin, berkata, setiap perkembangan pelatih akan dimaklumkan dari semasa ke semasa supaya
ibu bapa dapat membuat persiapan dan menilai di mana bermulanya segala kesilapan dahulu.
Katanya, hal ini kerana program bimbingan disediakan secara menyeluruh iaitu membabitkan anak dan ibu bapa.
“Sebab kadang-kadang masalah ini bermula daripada rumah. Ada satu kes yang kami uruskan seorang remaja ini ketagihan pornografi .
“Bila kami siasat lebih lanjut rupanya kerana ibu bapa suka lihat cerita lucah di rumah. Mungkin mereka ingat anak masih kecil tidak tahu apa-apa.
“Tapi, budaklah sebenarnya yang cepat ‘tangkap’ dan ingat apa yang mereka tengok. Jadi, bila mereka cari sendiri di internet, macam-macamlah yang jumpa,” ujarnya.
Berkongsikan pengalaman, katanya, bukan mudah menguruskan remaja yang jiwanya sedang memberontak, apatah lagi ketika mereka merasakan dibuang oleh ibu bapa ketika dihantar ke RS.
“Kami sentiasa mengingatkan mereka yang ibu bapa tidak pernah membuang mereka, sebaliknya disebabkan kasih sayanglah mereka dihantar ke RS untuk dibimbing agar mereka tidak terus menerus berada dalam kesesatan.
“Pelatih akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan diajar melakukan pekerjaan rumah seperti mengemas dan memasak untuk berikan
mereka rasa tanggungjawab,” katanya.
Ujarnya pengalaman yang masih segar diingatan adalah apabila ada pelatih memasukkan cecair peluntur ke dalam nasi yang dimasak.
“Mujurlah ada terhidu bau cecair peluntur itu, jadi tidak berlaku apa-apa. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku. Saya kira pada waktu itu fikiran pelatih berkenaan mungkin belum stabil sepenuhnya,” katanya.
Berkhidmat lebih 10 tahun di pusat bimbingan dan perlindungan itu, menghadapi kemarahan dan pemberontakan pelatih sudah menjadi asam garam bagi Nur Baidura.
Terutamanya bagi pelatih yang dimasukkan secara paksa atau ditipu oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa memberikan janji manis seperti hanya perlu duduk di RS selama beberapa hari sahaja sebelum mereka mengambil semula.
“Sebab itu saya hendak sarankan di sini supaya ibu bapa jangan berbohong kepada anak jika hendak menghantar mereka ke sini., Jika takut untuk beritahu, jangan beritahu langsung.
“Menjadi masalah apabila ibu bapa menipu dengan mengatakan hantar untuk beberapa hari sahaja.
“Apabila anak itu berbual dengan pelatih lain dia dapat tahu bahawa tempoh latihan di sini minimum dua tahun. Itu yang terus jadi memberontak seperti memecahkan barang dan sebagainya,” katanya.










