Malaysia perlu 25,000 pakar keselamatan siber

Malaysia perlu 25,000 pakar keselamatan siber

ANWAR Ibrahim ketika Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) di Cyberjaya, semalam. -UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Malaysia kini kekura­ngan 12,000 profesional keselamatan siber dan memerlukan kira-kira 25,000 tenaga mahir dalam bidang tersebut menjelang 2025.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelancaran Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Malaysia (CCoE) dengan kerjasama syarikat perisian Kanada, Blackberry Ltd. semalam, penting bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga negara-negara lain.

Menurut beliau, pusat itu bakal menghimpunkan pelbagai kepakaran tempatan, institusi penyelidikan dan pakar keselamatan siber.

Memuatkan artikel berkaitan…

DAYA TAHAN

Katanya, pusat itu juga akan berkongsi pengetahuan, risikan ancaman dan bersama-sama membangunkan kaedah dan strategi untuk mengukuhkan daya tahan siber nasional dan serantau.

“CCoE ialah satu kejayaan pen­ting negara dalam mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang teguh dan memerlukan perkongsian kukuh merentasi sektor awam dan swasta.

“Pusat ini juga akan menyediakan persekitaran digital yang lebih selamat selain menggalakkan perkongsian maklumat dan pertukaran kepakaran antara agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan lain,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran CCoE di sini, semalam.

Perdana Menteri memuji Blackberry kerana membantu Malaysia meningkatkan kemahiran pasukan pertahanan siber masa depan sekali gus memperkukuh keselamatan dan inovasi negara dan serantau.

Anwar membayangkan pusat itu bakal menjadi hab pembinaan kapasiti keselamatan siber untuk rantau Asia Tenggara.

“Pusat ini juga akan memberi tumpuan khusus meningkatkan perkongsian risikan ancaman, dan memupuk kerjasama serantau dalam mengurangkan ancaman keselamatan siber dan memerangi jenayah siber,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu akan memanfaatkan pengalaman Blackberry dalam segmen keselamatan siber.

Menurutnya, Blackberry akan melengkapkan pusat tersebut de­ngan beberapa kurikulum dan awal tahun depan mereka akan mula mengadakan kursus kepakaran.

“Dengan serangan siber berlaku setiap saat, kita berharap kerjasama dengan Blackberry ini (keselamatan siber) akan ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini