SAUDARA PENGARANG,
KEMUDAHAN pengangkutan awam seperti bas terdapat di seluruh bandar di Malaysia, termasuklah di Bandar Raya Shah Alam. Di bandar raya ini, perkhidmatan bas disediakan oleh sebuah agensi Kerajaan Negeri Selangor iaitu Smart Selangor. Bagi hentian bas pula, ia dibina dan diselenggarakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Sejak lebih dari 10 tahun lalu, MBSA menggunakan sekurang-kurangnya tujuh istilah atau perkataan yang berbeza dalam petak khas untuk bas berhenti. Kebanyakannya dicat dengan warna kuning. Namun, di sesetengah lokasi, ia dicat dengan warna putih.
Penulis sendiri telah membuat pemantauan yang rapi. Istilah-istilah yang sedang dan masih digunakan adalah seperti bas, bas shj, bas sahaja, stop bus, bas stop dan sahaja bas.
Jika diperhatikan, istilah yang digunakan tidak seragam, sehinggakan ada istilah yang bercampur aduk dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Lebih baik jika pihak MBSA menggunakan satu istilah atau perkataan sahaja, untuk seluruh hentian bas di bawah pentadbiran MBSA. Jika ini dilakukan, sudah tentu ia tampak kemas dan profesional.
Justeru, penulis mencadangkan agar pihak MBSA menggunakan satu istilah atau perkataan iaitu bas sahaja. Perkataan bas diletakkan di baris atas, dan perkataan sahaja terletak di baris bawah.
Dari amalan biasa pun, kita membaca sesuatu dari atas ke bawah. Sejujurnya, penulis telah pun memberikan cadangan ini kepada pihak MBSA, setahun yang lalu, dengan menghantar emel kepada Datuk Bandar Shah Alam, pada 19 Januari 2023.
Mungkin mereka terlepas pandang, kerana penulis tidak menerima apa-apa respons daripada mereka. Diharapkan pihak MBSA dapat mempertimbangkan cadangan ini.-UTUSAN
KAMARUDDIN HASSAN
Seksyen 8, Shah Alam










