'Tak timbul isu warna kulit’ - Utusan Malaysia

‘Tak timbul isu warna kulit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

KERENAH birokrasi, tidak telus dan pilih ‘bulu.’ Itu antara dakwaan dilemparkan sesetengah pihak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan permohonan kewarganegaraan susulan ada pemohon berdepan kesukaran mendapatkan kerakyatan dengan mudah.

Ketua Pengarah JPN, DATUK RUSLIN JUSOH menegaskan, setiap permohonan taraf kewarganegaraan perlu melalui proses ketat kerana ia merupakan satu anugerah tertinggi diberi kerajaan Malaysia kepada mana-mana individu untuk menjadi warganegara.

“Dalam melaksanakan proses permohonan warganegara, ia adalah telus, tidak ada diskriminasi warna kulit, kaum, agama, taraf pendidikan dan sebagainya. Tidak timbul isu-isu tersebut.

“Antara tapisan ketat adalah kelayakan dokumentasi yang perlu dikemukakan kepada JPN dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).”

Ikuti penjelasan Ruslin dalam sesi temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MASZUREEN HADZMAN bersama jurufoto, MOHD. FAISOL MUSTAFA di pejabat beliau di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Bagaimana proses pemberian kewarganegaraan?
RUSLIN: JPN berperanan mendaftarkan kelahiran setiap individu yang lahir di Malaysia tidak kira warganegara atau bukan warganegara. Namun, pemberian kewarganegaraan bergantung kepada dua perkara iaitu status warganegara ibu bapa dan status perkahwinan ibu bapa.

Sebagai contoh, seorang ibu warganegara melahirkan seorang anak sama ada berkahwin atau tidak berkahwin, anak itu akan menjadi warganegara dan diberikan sijil lahir warna hijau (warganegara).

Ada isu orang kita takut apabila melahirkan anak luar nikah kerana keterlanjuran, ibu mengambil keputusan membuang anak. Apabila anak itu dibuang, kita tidak tahu anak itu warganegara atau tidak.

Apabila ada hubungan sulit antara wanita dan lelaki warganegara, bayi yang dilahirkan itu tetap akan diberikan sijil lahir dan mengikut warganegara ibu. Cuma dalam sijil kelahiran kita hanya masukkan maklumat ibu sahaja sebab ayah menghilangkan diri.

Contohnya, kalau dia melahirkan anak melalui bidan kerana takut hendak pergi hospital kerajaan, bidan itu boleh memberi keterangan sebagai individu yang melihat kelahiran itu dan dia boleh memberi perakuan kepada JPN untuk mendaftarkan anak itu. JPN bukan nak tangkap dia, kita tidak ada kuasa untuk menangkap.

Bagaimanapun, kerana persepsi, takut dan malu selain fikir kalau pergi JPN, maka JPN akan tangkap sebab ayah bayi itu sudah tiada. JPN hanya daftarkan anak itu kerana itu kewajipan dalam undang-undang.

Situasi kedua pula ialah berdasarkan taraf perkahwinan. Perkahwinan melibatkan lelaki warganegara dan wanita asing. Sekiranya bayi itu dilahirkan tanpa perkahwinan, anak itu tidak akan jadi warganegara, tetapi mengikut warganegara ibu kerana tidak berkahwin.

Begitu juga apabila wanita tempatan yang berkahwin lelaki asing. Kalau ada perkahwinan tidak menjadi masalah dan anak itu menjadi warganegara kerana mengikut kewarganegaraan ibu.

Mengikut Seksyen 17 Perlembagaan Persekutuan, mana-mana anak tidak sah taraf dia akan ikut warganegara ibu.

Ini adalah situasi pemberian kewarganegaraan yang ditentukan melalui kuat kuasa undang-undang atau boleh dikatakan secara automatik.

Ada dakwaan mengatakan amat sukar mendapatkan kewarganegaraan kerana kerenah birokrasi JPN. Benarkah?
JPN tidak meletakkan sebarang perbezaan kaum dan agama. Ia adalah proses sama rata yang mana JPN berperanan mendaftarkan perkahwinan dan memastikan kewarganegaraan seseorang individu tidak mengira orang itu Melayu, Cina, India atau apa sahaja keturunan.

Proses permohonan warganegara adalah telus, tidak mengira diskriminasi warna kulit, taraf agama, pendidikan, kaum dan sebagainya. Benda itu tidak timbul.

JPN hanya memproses permohonan berdasarkan pembuktian untuk menentukan kelayakan. Jadi, tidak timbul isu mengikut kaum dan sebagainya.

Setiap permohonan warganegara melalui proses ketat. Ini kerana taraf kewarganegaraan adalah satu anugerah tertinggi diberi kerajaan Malaysia kepada mana-mana individu untuk jadi warganegara.

Antara perkara ketat itu adalah kelayakan dokumentasi yang perlu dikemukakan kepada JPN yang perlu memenuhi syarat ditetapkan KDN.

JPN akan meneliti dan menyemak dokumen yang diperlukan termasuk membuat semakan dalam sistem JPN dan membuat tapisan untuk memastikan mereka layak memohon. Selepas itu pertimbangan dibawa ke KDN.

JPN turut membuat semakan pembuktian mereka itu lahir di Malaysia dan mempunyai kelayakan sebagai warganegara. Sebarang keputusan akan dibawa ke panel yang dipengerusikan saya sendiri untuk pastikan proses ini telus.

Bagaimana proses permohonan kewarganegaraan untuk kategori lain?
Permohonan kewarganegaraan melalui pendaftaran atau naturalisasi ini banyak kategori. Di bawah Perkara 16, 15A, 15(2) dan 15 (1) yang menyatakan perlu membuat permohonan kewarganegaraan kerana tidak jatuh dalam kategori pertama iaitu secara automatik.

Contoh, isu kewarganegaraan anak angkat. Persepsi luar menyatakan apabila mengangkat seorang anak bukan warganegara, secara automatik anak itu menjadi warganegara. Bukan sebegitu.

Apabila seorang anak dapat pengangkatan sah melalui proses pengangkatan yang sah seperti melalui perintah mahkamah atau de facto Jabatan Kebajikan Masyarakat, anak itu akan dikeluarkan sijil pengangkatan oleh JPN. Apabila dapat sijil ini, sekiranya kanak-kanak itu bukan warganegara, anak tersebut tetap kekal bukan warganegara walaupun ibu ayah angkat adalah warganegara.

Ibu bapa boleh memohon kewarganegaraan anak tersebut di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang mana kes ini dibawa ke KDN. JPN memastikan permohonan yang diterima adalah teratur dan layak dengan mengemukakan bukti-bukti diperlukan JPN.

Ada pihak bertindak sebagai orang tengah kononnya memudahkan mana-mana permohonan kewarganegaraan. JPN maklum perkara ini?
JPN tidak melantik mana-mana ejen atau pertubuhan atau mana-mana individu dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan.

Seperti MySel, mereka hanya bertindak membantu memudahkan orang yang tidak tahu prosedur. MySel sendiri sentiasa aktif membawa pemohon berurusan dengan JPN.

Setiap kes memerlukan penyiasatan, semakan dan verifikasi yang merupakan normal prosedur di peringkat JPN. Setiap pemohon perlu hadir sendiri. MySel itu bukan ejen kita tetapi kalau dia sekadar nak membantu, tidak ada isu. Sesiapa yang nak bawa pemohon ke JPN, tidak ada masalah tetapi dokumentasi adalah urusan antara JPN dan pemohon.

Saya nak beritahu, jangan tertipu dengan sesiapa yang menawarkan membantu untuk mendapatkan kewarganegaraan dengan bayaran tertentu.

Contohnya, ada pihak mendakwa ada ‘kawan’ di JPN akan bantu dan bayar sebanyak RM5,000 terlebih dahulu, baru dia bantu untuk proses. Jangan sekali-kali tertipu kerana proses kewarganegaraan bukan melalui ejen.

Pihak pemohon sendiri akan datang hantar dokumen lengkap, dan JPN akan membuat semakan dan ada kes tertentu maklumat tidak lengkap perlu disahkan dahulu dan membawa ke proses siasatan, ia adalah proses panjang.

Kalau layak, kita akan teruskan permohonan dibawa ke KDN. Kalau tidak layak, kita akan beritahu dia bahawa dia tidak layak untuk memohon supaya kita tidak mahu orang yang tidak layak memohon sekali lagi, akhirnya gagal.

Itu sebab guna ejen pun kita tidak iktiraf apatah lagi menerima tawaran. Jangan sesekali terpedaya kerana JPN tidak lantik mana-mana ejen. Permohonan dibuat akan disemak berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan di bawah akta-akta termasuk permohonan kewarganegaraan.

Sepanjang tempoh dari 2015 sehingga 28 Februari lalu, JPN menerima sejumlah 75,269 permohonan kewarganegaraan di bawah pelbagai kategori. Daripada jumlah ini, seramai 13,940 individu telah dianugerahkan kewarganegaraan dengan 3,642 orang melibatkan individu berumur di bawah 21 tahun (kategori permohonan bagi kanak-kanak).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×