MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas lebih 108 ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi serta dua peranti digital membabitkan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM100,000, menerusi Op Tembok pada 5 Mac lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, premis yang terletak dalam daerah Melaka Tengah itu digunakan untuk menjalankan aktiviti penjualan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian yang disyaki dari China.
Kata beliau, dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 50-an serta pekerja berada dalam premis ketika serbuan dilakukan.
“Suspek adalah pemilik premis. Siasatan awal mendapati suspek menjual dan mengiklankan produk tidak berdaftar dari China secara dalam talian di platform e-dagang.
“Hasil pemeriksaan menemukan produk kosmetik, ubat tradisional dan antifungal serta antibiotik. Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk dan kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ruzita, JKN memberi amaran kepada individu atau syarikat menjual produk ubat dan kosmetik yang melanggar undang-undang agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.
Menurutnya, tiada jaminan terhadap kualiti dan keselamatan penggunaan bagi produk yang tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi.
“Orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya membeli ubat atau kosmetik di media sosial atau secara dalam talian. Sila semak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.
“Laporkan dan salurkan maklumat berkaitan ubat atau kosmetik yang meragukan sebagai tindakan bersama Kementerian Kesihatan untuk membanteras penggunaan dan penjualan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN










