KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu bertolak ansur dalam isu cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan yang dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkepentingan perlu mengambil pendekatan memberi dan menerima selain mencari jalan tengah dalam isu tersebut.
Justeru, beliau menyeru pihak aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus menerapkan semangat yang sama.
“Kerajaan tidak perlu mengalah dengan semua yang mereka tuntut.
“Anda mungkin fikir pendapat anda betul, tetapi ia tidak selalunya benar, jadi sila beri sedikit ruang kepada kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini, semalam.
Tambahnya, perkara penting ialah menyelesaikan isu kewarganegaraan bersama.
Jumaat lalu, Saifuddin mendedahkan, kerajaan bersetuju dengan tujuh daripada lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan yang dikemukakan oleh KDN.
Beliau dilaporkan, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kesemua cadangan pindaan ambil kira pendapat termasuk setelah Perdana Menteri buat perbincangan dengan ketua komponen parti Kerajaan Perpaduan dan ketua whip.
“Maka terhadap cadangan yang KDN bentang itu semua dipersetujui melainkan satu tentang Perkara 19(b)dan 14(1)(e). Itu kekal sepertimana sebelum cadangan diangkat oleh KDN,” katanya.
Sebelum ini, KDN mengenal pasti lapan perkara untuk dimasukkan sebagai cadangan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan pemberian kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Saifuddin Nasution dilaporkan berkata jawatankuasa khas kementerian yang ditubuhkan bagi meneliti perkara itu bersetuju menerima kelapan-lapan perkara itu namun tiada ketetapan dibuat setakat ini kerana ia perlu melalui proses lain di pelbagai peringkat. – UTUSAN










