Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan, berkembang 5.6%

Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan, berkembang 5.6%

AWANG Adek Hussin (tengah, duduk) bersama barisan pengarah pada sidang media Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 2023 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dengan saiz berkembang sebanyak 5.6 peratus kepada RM3.8 trilion pada 2023, berbanding RM3.6 trilion pada 2022. 

Perkembangan itu didorong oleh pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum tebus. 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2023 berkata, industri pengurusan dana juga berkembang kukuh dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5 bilion.

Ini berbanding RM906.5 bilion pada 2022 dan sebahagian besarnya disebabkan daripada kesan penilaian positif.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, prestasi pasaran modal yang kukuh dicapai walaupun berhadapan cabaran ekonomi global dan jangkaan yang berbeza terhadap dasar monetari dalam ekonomi utama.

Katanya, ini merupakan satu pencapaian yang penting yang jelas memaparkan peningkatan kematangan dan daya tahan SC sebagai sebuah institusi. 

“SC kekal tidak berbelah bahagi dalam keazaman kami untuk mengukuhkan rangka kerja kawal selia dan menegakkan integriti pasaran, apatah lagi kerana kami diukur berdasarkan piawaian kawal selia global,” katanya dalam sidang akhbar sempena Laporan Tahunan SC 2023 di sini, semalam.

Menurutnya, segmen unit amanah kekal sebagai sumber dana terbesar yang terdiri daripada 51.3 peratus daripada jumlah AUM.

“Bagaimanapun, bagi jumlah dana yang dikumpul dalam pasaran modal menyederhana kepada RM127.7 bilion pada 2023, berbanding pengumpulan dana yang tinggi sebanyak RM179.4 bilion pada 2022.

“Dalam pasaran ekuiti, terbitan utama bertambah baik kepada RM3.6 bilion pada 2023 berbanding RM3.5 bilion pada 2022 melalui 32 tawaran awam awal (IPO).

“Sementara itu, aktiviti pengumpulan dana sekunder menurun kepada RM5.8 bilion berbanding RM22.6 bilion pada 2022 di tengah-tengah tindakan korporat yang lebih rendah sepanjang 2023,” ujarnya.

Awang Adek berkata, pasaran ekuiti domestik mencatatkan prestasi bercampur-campur pada 2023 dengan peralihan positif sentimen dilihat ke arah segmen bermodal pertengahan dan kecil.

“Jumlah dan nilai dagangan harian bertambah baik terutamanya pada separuh kedua 2023, mungkin disebabkan pengurangan duti setem berkuat kuasa Julai 2023,” katanya.

Pada 2023, aktiviti pembiayaan alternatif terus menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dengan jumlah dana yang diperoleh berjumlah RM3.8 bilion berbanding RM3 bilion pada 2022.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×