Hidup lebih bermakna dengan saringan awal

Hidup lebih bermakna dengan saringan awal

KANSER kolorektal boleh dicegah jika masyarakat mempunyai kesedaran dan melakukan saringan kesihatan di peringkat awal secara berkala.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI kala Malaysia menuju menjadi negara tua menjelang 2030, dijangkakan 15.3 peratus penduduk di negara ini akan berusia lebih 60 tahun. Golongan ini mempunyai risiko untuk menghidapi kanser kolorektal iaitu kes kanser kedua tertinggi selepas kanser payudara.

Data kajian penyelidik tempatan melaporkan bahawa 80 peratus pesakit kanser kolorektal terdiri daripada golongan berumur 50 tahun keatas. Kanser ini paling kerap dialami oleh lelaki berbanding wanita. Malahan, trend semasa melaporkan kanser ini semakin meningkat.

Setiap tahun pada Mac, sambutan Bulan Kanser Kolorektal dilaksanakan di kebanyakkan hospital kerajaan dan swasta. Namun begitu, hebahan berkenaan program sebegini tidak meluas dan tidak sampai kepada kelompok sasaran serta masyarakat awam.

Kesannya, ramai pesakit kanser kolorektal mengetahui penyakit mereka ketika sudah berada di peringkat akhir. Pada ketika itu, pesakit akan terbeban dengan kualiti hidup yang merosot serta menanggung kos rawatan yang tinggi.

Ini disebabkan rawatan kanser melibatkan pelbagai kaedah seperti pembedahan, kimoterapi, radioterapi, penjagaan paliatif dan rehabilitasi.

Hal ini boleh dicegah jika masyarakat mempunyai kesedaran dan melakukan saringan kesihatan di peringkat awal secara berkala khususnya berkaitan kanser kolorektal. Saringan kesihatan wajar dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun bagi mereka berusia kurang daripada 40 tahun manakala bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas, saringan kesihatan wajar dilakukan setiap tahun.

Pihak kerajaan juga harus melaksanakan program kesedaran secara serius dan lebih tersusun serta meluas bagi meningkatkan pengetahuan mengenai gejala dan faktor risiko kanser kolorektal, kesedaran terhadap manfaat saringan serta promosi gaya hidup sihat untuk mencegah penyakit ini.

Selain itu, pusat khidmat kesihatan wajar melaksanakan program saringan yang teratur dan berperingkat untuk pengesanan awal kanser ini. Pembangunan dan pelaksanaan panduan pengurusan dan penjagaan lanjutan untuk kanser ini perlu diperkukuhkan bagi penggunaan sumber yang berkesan dan optimum di seluruh negara.-UTUSAN

FAIRUS MUHAMAD DARUS
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×