KUALA LUMPUR : Hak dan kuasa veto ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa supaya menghadkan khususnya berkaitan genosid dan jenayah perang terhadap Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gesaan ini disuarakan oleh wakil tetap Malaysia ke PBB baru-baru ini bagi mengekang negara-negara yang menyokong Israel meneruskan kekejaman terhadap penduduk Gaza.
“Wakil tetap kita ke PBB telah mengemukakan supaya hak veto ahli tetap PBB dibatalkan, tapi untuk kita tunggu saat itu berlaku, Malaysia cadangkan supaya hak veto ini ditapis dan dihadkan.
“Penggunaan kuasa veto tidak boleh digunakan jika bersangkut paut pembunuhan beramai-ramai atau jenayah perang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ledang (PH), Syed Ibrahim Syed Noh yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada Malaysia boleh memimpin negara lain untuk mendesak Israel bukan hanya menjadikan gencatan senjata kekal menjadi syarat utama tapi juga membenarkan bantuan kemanusiaan masuk.
Mohamad dalam masa yang sama turut berkata, meskipun sukar menghapuskan hak veto, namun Malaysia berusaha untuk mengehadkannya.
“Malaysia sentiasa memberi penekanan dengan tegas dan latang menggunakan segala platform yang ada pentas seluruh dunia dengan kemukakan pandangan berprinsip supaya Israel menghentikan keganasan.
“Hubungan diplomasi juga kita gunakan untuk bersuara. Baru-baru ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan tegas dan lantang di Australia dan Jerman bersuara, kutuk pembunuhan beramai-ramai di Palestin,” ujarnya. –UTUSAN










