ARAU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar di sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini masih tertakluk kepada sistem audit walaupun Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini.
Pindaan yang diumumkan terdahulu menyaksikan penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU bagi membenarkan MPP dan badan pelajar menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun tertakluk kepada peraturan serta undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, setiap pertubuhan termasuk MPP sememangnya tertakluk kepada satu sistem audit yang telus bagi membolehkan penilaian keluar masuk wang ke dalam akaun dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Walaupun pindaan ini membolehkan MPP atau badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun, ia tetap akan menjalani proses audit untuk melihat bagaimana pengurusan kewangan mereka.
“Pindaan yang dilakukan itu juga bukanlah bererti duit masuk atau duit keluar daripada pertubuhan berkenaan dilakukan secara bebas tanpa ada kawal selia namun jika ada yang mengkritik bahawa ia (AUKU) masih ada dalam konteks ‘dikawal’ itu tidak betul,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)@ Unimap dan Majlis Peluncuran Kad MySiswa di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Kampus Pauh Putra, di sini semalam.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.
Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan pindaan AUKU yang membenarkan MPP menerima sumbangan daripada entiti sah namun masih tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
RUU pindaan AUKU itu bakal menyaksikan beberapa seksyen dalam akta tersebut dipinda iaitu membabitkan Seksyen 15 dan 16 AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.
Dalam pada itu, Zambry berkata, setiap pindaan AUKU yang dilaksanakan adalah mengambil kira kepentingan mahasiswa dan mahasiswi di negara ini.
“Sekarang ini, kita beri kebebasan itu kepada mahasiswa sebab itu dalam konteks ini, saya hendak tekankan sekali lagi bahawa apa yang kita umumkan baru-baru ini, termasuk perubahan terhadap tiga perkara dalam AUKU ini adalah membabitkan keperluan dan kepentingan mahasiswa dan mahasiswi negara ini,” katanya.
Tambahnya, pindaan di dalam AUKU juga sudah dilaksanakan buat kali kelapan dan kerajaan sentiasa memikirkan penambahbaikan dari masa ke semasa.
“Sebab itu saya sendiri suka turun ke bawah bagi mendekati dan mendengar suara mahasiswa bagi melakukan penambahbaikan terhadap AUKU,” katanya.
Dalam pada itu, Kad MySiswa yang bermula Mac tahun lalu kini sudah memanfaatkan hampir 550,000 orang mahasiswa di 20 buah Universiti Awam (UA) seluruh negara.-UTUSAN










