Kedah Agro lintah, kerajaan negeri tak guna wang rakyat bayar gaji pekerja - Utusan Malaysia

Kedah Agro lintah, kerajaan negeri tak guna wang rakyat bayar gaji pekerja

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) diibaratkan seperti lintah apabila tidak berupaya menjana pendapatan sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, KAHB pernah diberi teguran oleh Ketua Audit Negara pada 2017 kerana bermasalah sejak setahun sebelum itu.

Menurutnya, kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) ketika itu didakwa membenarkan MBI untuk menampung sebahagian pembayaran gaji kesemua pekerja KAHB yang diamalkan sehingga kini.

“Saya punya polisi yang jelas dah diumum pada 2020 iaitu mana-mana anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang tak boleh menyumbang kepada kerajaan, duk hisap darah kita ditutup tapi tak ditutup.

“Tujuan tubuh GLC untuk berniaga, dapat projek kerajaan untung pulang balik kepada kerajaan. Kalau ada 30 orang kerja dalam itu makan kedarah sumbang tak pernah tapi duk kikis hat pak (MBI) lagi itu bukan GLC itu lintah, saya tak mau bela lintah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MBI Kedah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Pas Kawasan Sungai Petani di sini, semalam.

Sebelum ini, tular surat yang didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah berkaitan aduan isu bayaran gaji serta pengoperasian KAHB.

Wakil kumpulan kakitangan KAHB, Mohamad Redzwan Ramlee berkata, mereka hanya mahu menuntut hak masing-masing kerana masalah itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan tetapi keharmonian rumah tangga.

Terbaru, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan, KAHB akan membayar kira-kira RM560,000 gaji semasa dan tunggakan sebelum Hari Raya Aidilfitri setelah ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KAHB, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mempertimbang untuk memberikan pinjaman kepada KAHB bagi menyelesaikan tunggakan gaji kesemua 24 kakitangan syarikat itu.

“Nak pinjam pun saya tengok nak bayar dengan apa, berapa lama tempoh, sebulan berapa. Saya tak mahu kerana nak tolong 24 orang ini saya khianat amanah satu Kedah. Duit kerajaan, pembayar cukai tak boleh guna bayar gaji syarikat yang tak ada dalam perbelanjaan kerajaan.

“Ini dipanggil tatakelola yang depa sering cakap, bila kita buat depa marah. Belum pernah sejak ditubuh Kedah Agro kerajaan bayar gaji, yang boleh dibuat adalah syarikat pinjam duit kerajaan. Bila terjadi isu (tunggakan gaji) saya tak tau, depa hantar memorandum (baru tahu), selama ini hampa buat apa,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai cara kerja kakitangan KAHB yang didakwa bekerja dari rumah sejak Ogos tahun lalu kerana cara itu menurutnya tidak akan membantu syarikat berasaskan pertanian itu menjana pendapatan.

Beliau turut menyelar pihak-pihak yang menyerangnya kerana menyifatkan mereka hanya mengambil kesempatan dan bukan atas dasar simpati kepada kakitangan itu.

“Ada orang kesian kata tak payah tutup takut ada orang hilang kerja, tularkan merata-rata kata saya tak bayar gaji dia. Saya akan uruskan isu ini ikut tatakelola, bukan tak mau tolong tapi hang kena berhutang kat aku,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×