SHAH ALAM: Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak minggu hadapan bagi membincangkan mengenai pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU).
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia berikutan ada arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftaran dan kemas kini PADU di negeri itu ditangguhkan.
“Setakat ini, saya difahamkan arahan untuk pendaftaran ditangguhkan hanya tertakluk kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri sahaja.
“Kita telah menghubungi kerajaan Sarawak dan minggu depan Kementerian Ekonomi akan duduk berbincang berkenaan hal ini dengan mereka,” kata beliau selepas sesi dialog awam Padu di sini semalam.
Bagaimanapun, menurut beliau, dari segi pendaftaran, penduduk Sarawak boleh terus mendaftar seperti biasa menerusi portal PADU, malah setakat minggu lepas, Sarawak antara negeri merekodkan pendaftaran tertinggi.
Mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa pendaftaran PADU ibarat ‘membogelkan’ maklumat peribadi setiap orang, Rafizi berkata, itu adalah sekadar pandangan peribadi.
BERCADANG
Sementara itu, kata beliau, kerajaan juga tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh pendaftaran dan kemas kini PADU yang dijadual berakhir pada 31 Mac ini.
“Kalau kita lanjutkan (tempoh pendaftaran dan kemas kini) bermakna kita menolak pelaksanaan subsidi bersasar ke depan yang mana setiap sebulan kerajaan menanggung RM2 bilion subsidi minyak (petrol) pukal,” kata beliau.
Sehingga pukul 11.59 malam tadi (22 Mac), seramai 7.07 juta rakyat telah mendaftar dan mengemas kini sistem PADU.
Dalam perkembangan lain, Rafizi menafikan subsidi petrol akan ditarik sebelum Aidilfitri.
“Tidak betul. Siapa yang buat khabar angin itu? Mustahil akan ada sebarang keputusan mengenai subsidi petrol dan diesel terlalu dekat dengan 31 Mac ini (tarikh akhir pendaftaran PADU).
“Ini kerana kita perlukan data itu dibersihkan terlebih dahulu… apabila kita lihat pada garis masa, memang kita perlukan empat ke lima bulan pertama tahun ini untuk menyelesaikan soal sistem sokongan (PADU) terlebih dahulu,” katanya.
Kelmarin, satu portal berita melaporkan sebuah firma penyelidikan memberi jangkaan harga RON95 dan diesel akan melonjak dalam masa terdekat. – UTUSAN










