Jadikan Ramadan ‘madrasah’ kehidup

Jadikan Ramadan ‘madrasah’ kehidupan

MOHD FADLI SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPUASA bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi merupakan pendidikan rohani yang mendalam. Ketaatan umat Islam menjalani ibadah puasa kerana Allah SWT sepanjang Ramadan menuntut kepasrahan hakiki terhadap perintah-Nya bagi menikmati hikmah dan kebaikan di sebaliknya.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Pegawai Agama Pejabat Agama Jajahan Kota Bharu, Kelantan, Ustaz Mohd. Fadli Sulaiman berkata, Ramadan dan amalan-amalan yang dilaksanakan di dalamnya bagaikan ‘madrasah’ kehidupan yang membawa kesejahteraan dalam kehidupan manusia.

————————————————————————————

USTAZ MOHD.
FADLI SULAIMAN
Umur: 50 tahun
Asal: Kampung Telaga Papan,
Pasir Puteh, Kelantan
Sejarah Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Syariah (perundangan) Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM)
Tugas hakiki:
Pegawai Agama Pejabat Agama Jajahan Kota Bharu, Kelantan


Menurutnya, beberapa aspek pendidikan rohani yang memiliki nilai moral yang tinggi terkandung dalam amalan berpuasa dan Ramadan adalah bulan rahmat yang barokah yang dianugerahkan kepada umat Islam kembali bermuhasabah dan beramal makruf dengan ganjaran pahala berganda berbanding bulan lain.

“Secara lahiriah, umat Islam mengendalikan diri dengan ibadah berpuasa membabitkan seluruh anggota badan. Secara batinnya, kita juga harus menutup keinginan terhadap kelazatan dan kenikmatan yang sering diinginkan nafsu manusiawi,

“Bukan sekadar menahan makan dan minum kerana puasa mendidik kita menahan diri daripada godaan nafsu dan lebih kuat adalah godaan biologis yakni hawa nafsu kemewahan dan keinginan syahwat,” katanya ketika ditemui selepas tazkirah Subuh di Masjid At-Taqwa Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini

Tambah Mohd. Fazli, kemuliaan bulan ini adalah sekolah yang memberi latihan, ilmu, amal dan iman yang akan membentuk kemuliaan akhlak umat manusia berasaskan tuntutan agama Islam.

Katanya, perbanyakkan amalan kerohanian seperti membaca al-Quran dan berzikir, mendirikan solat taubat dan solat sunat lain termasuk tahajud dan lain-lain ibadah pada separuh malam untuk melembutkan hati dan mencari titik kesucian jiwa.

Menurutnya, puasa juga memiliki dimensi spiritual yang kompleks yang merupakan penawar mustajab yang berupaya menghancurkan hawa nafsu.

Ia termasuk mendidik tidak memperbanyakkan makanan dan minuman ketika berbuka sehingga berlaku pembaziran, berbuka puasa dengan makanan yang halal dan berkongsi rezeki makanan dengan tetangga khususnya asnaf yang memerlukan.

“Kehadiran ahli khariah mengimarahkan masjid seharusnya tidak bermusim hanya pada Ramadan. Hidupkan solat berjemaah dan tingkatkan fungsi masjid sebagai pusat ilmu dan komuniti dengan menjadikan Ramadan sebagai pemangkin yang meperkukuhkan amalan solat berjemaah secara berterusan.

“Paling utama adalah istiqomah anak muda remaja yang cintakan masjid yang juga perlu diambil perhatian agar kehadiran mereka dalam bilangan yang membanggakan tidak hanya pada Ramadan, malah berterusan,” katanya.

Mohd. Fazli berkata, 10 malam terakhir Ramadan merupakan waktu yang dipilih untuk diturunkan Malam al-Qadar yang perlu dianggap sebagai hadiah terbesar yang diturunkan kepada umat Islam pada bulan Ramadan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lainnya.

Katanya, sepanjang bermula 10 malam terakhir disarankan perbanyakkan zikir yang membabitkan tasbih, tahlil dan tahmid, istighfar dan memohon keampunan-Nya, meningkatkan amalan bersedekah untuk mengubah diri daripada kikir kepada pemurah.

Turut disarankan untuk beriktikaf di masjid dalam mengejar kemuliaan malam Lailatulqadar.

“ Sepanjang melaksanakan ibadat puasa deria mata, telinga dan mulut perlu dijaga dan mengingati Ramadan adalah bulan mendidik yang memerlukan kekuatan iman dan kesungguhan untuk mentaati disiplin hidup berpandukan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×