KOTA BHARU : Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperkenalkan cat berkonsepkan cat insulasi panas (Thermal Insulation Paint) untuk projek pembinaan di bawahnya termasuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) dalam usaha menghalang dan memantulkan haba daripada cahaya matahari.
Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, cat formula khas menggunakan sekam padi itu sudah terbukti berkesan selepas diuji keatas sebuah rumah RMR di Pasir Mas pada tahun 2022 lalu.
“SPNB memandang serius terhadap pemanasan global yang sedang berlaku ketika ini dan penggunaan cat ini mampu mengurangkan haba dalam rumah seterusnya dapat mengurangkan penggunaan elektrik.
“Menerusi penggunaan cat insulasi panas ini, ia mampu mengurangkan pemanasan dengan sangat ketara di mana pada waktu pagi, ia dapat mengurangkan sehingga 6.6 darjah celcius manakala 9.9 darjah celcius pada waktu tengahari,”katanya pada kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Tapak Pembinaan RMR di Kampung Tukor, Peringat di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Husam memberitahu, lembaga SPNB telah memutuskan pelaksanaan rumah RMR 2.0 bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki sebuah rumah yang selesa.
Katanya, permohonan untuk RMR 2.0 ini dijangka lebih meluas berbanding RMR sedia ada kerana ia tidak melibatkan pembayaran secara ansuran mahupun gadaian atau cagaran tanah.
“Rumah RMR 2.0 ini sama dengan RMR sedia ada dari segi keluasan rumah, subsidi serta tempoh disiapkan kurang daripada tiga bulan cuma ia perlu dibayar secara tunai.
“Sejak dua bulan RMR 2.0 ini diluluskan, kita telah menerima permohonan dan ia sedang dalam proses untuk pelaksanaan,”ujarnya.
Husam berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga Februari lalu, SPNB telah berjaya membina sebanyak 10,174 unit RMR di Kelantan.
“Tahun lalu, SPNB berjaya membina sebanyak 9,450 unit rumah daripada anggaran asal 3,500 unit di seluruh negara.
“Manakala peruntukan yang diterima setakat ini untuk tahun ini adalah sebanyak RM350 juta untuk pembinaan 3,500 unit RMR dan mungkin akan ada pertambahan selepas ini,”katanya.-UTUSAN










