SAUDARA PENGARANG,
AYUH sama-sama kita memupuk semangat untuk berbelanja secara berhemah dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang sepatutnya semasa berbuka puasa. Berbuka puasa dengan sederhana dan mengikut keperluan keluarga tanpa ada sebarang pembaziran merupakan amalan yang sangat dituntut.
Sebagai seorang Muslim yang benar-benar menghayati semangat Ramadan sewajarnya menginsafi bahawa ramai masyarakat di luar sana yang masih hidup serba kekurangan dan menghadapi kesulitan mendapatkan makanan untuk berbuka puasa.
Bulan Ramadan mendidik jiwa mukmin agar sentiasa menjaga amalannya termasuk dalam soal perbelanjaan secara berhemah dan menjauhi pembaziran. Bagi mereka yang terlebih mampu dianjurkan untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang sangat-sangat memerlukan.
Sementara bagi mereka yang mempunyai pendapatan sederhana dan rendah dianjurkan agar sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dengan tidak keterlaluan membeli juadah berbuka secara berlebihan kerana dibimbangi hanya terbuang begitu sahaja. Sikap sedemikian mampu memberi rasa keinsafan buat diri agar sentiasa menghargai makanan dengan sebaik mungkin.
Bahkan, perbelanjaan secara berhemah mampu menjadikan lebihan duit sebagai simpanan pelaburan masa hadapan yang memberikan pulangan masa depan yang lebih baik. Anjuran ini bertujuan memastikan kelangsungan hidup insan lebih terjamin di samping memupuk sikap baik untuk menghargai diri dan orang lain.
Bagi memenuhi kehendak dan tekad Malaysia Madani, ayuh seluruh ummah menjadikan bulan Ramadan sebagai madrasah (sekolah) yang mendidik ummah agar berhemah dan tidak membazir.
Amalkan gaya hidup sederhana dan semai sikap menabung demi masa depan yang lebih kukuh dan terjamin.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis










