Polis terima 144 permohonan jual bunga api, mercun - Utusan Malaysia

Polis terima 144 permohonan jual bunga api, mercun

SEBAHAGIAN daripada bunga api dan mercun yang dijual pada bulan Ramadan ini di Kuala Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menerima 144 permohonan penjualan bunga api dan mercun sempena Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 70 permohonan diluluskan, 39 ditolak dan 35 lagi sedang dalam proses penilaian.

Menurut beliau, terdapat faktor mendorong kepada permohonan ditolak antaranya rekod jenayah lampau pemohon dan tiada tempat penyimpanan yang selamat.

Katanya, pihak berkuasa mengenakan syarat dan kriteria ketat sebelum meluluskan permohonan penjualan bunga api kepada orang ramai.

“Kami menerima permohonan paling banyak di daerah Dungun iaitu 38, Kemaman (33), Kuala Terengganu (21), Besut (18), Hulu Terengganu (15), Marang (10) dan Setiu (9).

“Terdapat 42 jenis bunga api dibenarkan berada di pasaran dengan kelulusan polis dan peniaga hanya boleh menjual sehingga 15 April sahaja.

“Jika ada didapati melanggar permit atau menjual bunga api tanpa kelulusan, tindakan boleh diambil mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” kata beliau ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu Mazli memberitahu, polis Terengganu turut memantau rapi penjualan bunga api di bazar Ramadan serta menerusi platform atas talian.

Jelasnya, langkah itu dibuat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh peniaga.

“Kita mahu pastikan hanya bunga api yang dibenarkan sahaja dijual di pasaran dan setakat ini sudah ada rampasan cuma dalam nilaian yang kecil,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×