Pencemaran: Pengurus besar, pengurus pengeluaran kilang ditahan - Utusan Malaysia

Pencemaran: Pengurus besar, pengurus pengeluaran kilang ditahan

SEORANG pengurus besar dan pengurus pengeluaran sebuah kilang di kawasan perindustrian Pasir Gudang ditahan bagi membantu siasatan kes pencemaran Sungai Tukang Batu, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus besar dan seorang pengurus pengeluaran sebuah kilang berasaskan oleokimia di kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dekat sini ditahan  Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini hari ini bagi membantu siasatan kes pencemaran Sungai Tukang Batu, Isnin lalu.

Pengarah JAS negeri, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, lelaki tempatan berusia 44 dan 38 tahun itu ditahan di premis tersebut pada pukul 5 petang tadi.

Kedua-dua individu itu ditahan bagi membantu siasatan susulan kilang tersebut dipercayai melepaskan efluen perindustrian ke longkang awam dan mencemarkan Sungai Tukang Batu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JAS Johor menerima aduan awam berkaitan pencemaran efluen perindustrian berwarna putih ke longkang awam dan seterusnya ke sungai berkenaan pada Isnin lalu.

“Susulan itu, JAS Cawangan Pasir Gudang bertindak menjalankan siasatan dan mendapati masih terdapat pelepasan efluen perindustrian berwarna putih serta berbuih pada keesokan harinya,” katanya, di sini.

Pihaknya turut menerima aduan tentang pelepasan air berwarna hitam di lokasi aduan yang sama pada hari ini.

“Dalam menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 37C(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, tangkapan dibuat ke atas dua individu berkenaan di kilang tersebut,” katanya.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Pada 5 Mac lalu, akhbar melaporkan Sungai Tukang Batu adalah salah satu daripada empat sungai di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang yang dikesan dalam keadaan tercemar dan berada dalam tahap yang membimbangkan.

Tiga lagi sungai yang turut dikesan tercemar ialah Sungai Perembi, Sungai Buluh dan Sungai Kim Kim yang terletak di dalam kawasan perindustrian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×