KOTA BHARU: Pengusaha bas ekspres di Pantai Timur dijangka akan menaikan harga tiket bas eksekutif pada kadar peratus 42 peratus sebagaimana yang telah diputuskan menerusi perbincangan membabitkan pemain industri di kawasan ini.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, pelaksanaan melibatkan bas yang mempunyai kerusi 2+1 di setiap barisan itu sudah pun dilaksanakan di negeri lain.
“Kenaikan itu menyaksikan harga tiket bas eksekutif yang sebelum ini dijual pada RM44 akan menjadi RM75. Harga tiket bas ekonomi (kerusi 2+2 di setiap barisan) selepas ini menjadi RM44 berbanding kini RM35.
“Kita jangka kenaikan harga ini akan dibuat dalam masa terdekat dan mungkin ini Aidilfitiri terakhir dimana penumpang masih membeli dengan harga tiket yang lama,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan penyampaian zakat oleh Konsortium E-Mutiara di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Che Ibrahim memberitahu, ketika ini pengusaha bas di Pantai Timur mengenakan tambang tiket ekonomi untuk bas eksekutif dan tindakan itu terpaksa dibuat akibat persaingan.
Katanya, bagaimanapun perkara itu tidak boleh diteruskan memandangkan kos yang semakin meningkat termasuk alat ganti dan harga bas yang semakin mahal.
“Dalam keadaan sekarang ini, pengusaha bas sudah tidak mampu untuk menampung kos operasi dan kami sepakat untuk menaikkan tambang kepada harga yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)
“Selepas ini, harga tiket bas eksekutif atau ekonomi akan selaras di semua negeri berbanding di Pantai Timur buat masa ini lebih murah,”ujarnya.-UTUSAN










