GAZA: Tentera Israel bertindak kejam dengan menahan 90 rakyat Palestin di Kompleks Perubatan terbesar di Gaza, Hospital Al-Shifa termasuk kawasan di sekeliling bandar ini, sejak dua hari lalu.
Menerusi kenyataan rasmi, tentera Israel turut memberkas 160 rakyat Palestin dan memindahkan mereka ke negara haram Israel bagi disoal siasat, sementara, 300 yang lain masih disoal siasat di kawasan itu.
Dilaporkan, tentera Zionis masih bertempur dengan pejuang Hamas di sekeliling kawasan hospital.
Pejabat Media Kerajaan di Gaza memaklumkan mangsa termasuk pesakit dan petugas perubatan di hospital itu terputus sumber makanan dan bekalan air selepas dikepung tentera Israel.
Sekurang-kurangnya 250 rakyat Palestin terbunuh dan mengalami kecederaan akibat serangan oleh tentera Israel di kawasan hospital.
Isnin lalu, tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan dengan kereta kebal, dron dan senjata di sekitar kawasan hospital.
Wartawan Al-Jazeera, Anas al-Sharif melaporkan tentera Israel tergamak menahan lelaki terlantar di atas katil selepas mengebom beberapa sekolah di sekitar lokasi hospital.
Dalam perkembangan sama, tentera Israel secara sistematik menyasarkan puluhan pengaturcara, pakar teknologi maklumat dan kejuruteraan komputer serta memusnahkan ibu pejabat syarikat mereka.
Sejak jenayah pembunuhan beramai-ramai di semenanjung Gaza, 7 Oktober lalu, tentera Israel membunuh ratusan individu yang mempunyai daya intelek dan kepakaran di wilayah terkepung itu.
Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med menyenaraikan pakar teknologi, termasuk individu yang memiliki kepakaran dalam pengaturcaraan dan kecerdasan buatan terbunuh dalam serangan Israel yang berterusan.
Ini termasuk jurutera pengaturcaraan terkenal Haitham Muhammad Al-Nabahin yang dianggap seorang daripada pakar kejuruteraan komputer paling berjaya di Gaza.
Beliau bersama isteri, Nasma Zuhair Sadiq, terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kediaman di kem pelarian Bureij, di tengah Gaza pada 14 Mac lalu.- AGENSI










