KUALA LUMPUR: Polis menemukan semula sebahagian barang kemas serta peti besi mengandungi empat jongkong emas, dianggarkan bernilai RM2.1 juta milik usahawan wanita terkenal kelmarin selepas empat individu ditahan sebelum ini.
Penahanan empat individu terdiri tiga wanita dan seorang lelaki telah membawa kepada penemuan barang kemas milik usahawan berkenaan di sebuah rumah di Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, turut ditemukan semula iaitu peti besi mengandungi empat jongkong emas bernilai RM1 juta yang dibuang di Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor.
Kata beliau, pencarian di kawasan sungai dilakukan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpandu maklumat suspek lelaki yang ditahan.
“Empat suspek yang merupakan warga tempatan itu telah ditahan Bahagian D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Kesemua mereka berusia antara 22 tahun hingga 36 tahun kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, dan direman selama sembilan hari pada 16 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Allaudeen, antara barangan yang ditemukan terdiri 15 rantai emas selain gelang emas (14), cincin emas (2), beg berjenama (7), loket emas (1), dan subang emas (1).
Kata beliau, soal siasat mendapati suspek yang ditahan tiada hubungan kekeluargaan dengan usahawan wanita terbabit.
“Modus operandi kumpulan ini menyasarkan ahli perniagaan atau pempengaruh media sosial.
“Kesemua tangkapan mempunyai 20 rekod lampau babit jenayah dan narkotik serta terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah di negeri Selangor dan Kelantan,” jelasnya.
Allaudeen memberitahu, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
Pada 4 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur.
Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai anggaran lebih kurang RM3 juta telah dilarikan bersama beberapa buah beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik ahli keluarga.
Jumlah anggaran kerugian adalah kira-kira RM3.5 juta. Kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










