Jadilah pembeli matang di bazar Ramadan

Jadilah pembeli matang di bazar Ramadan

SELAIN mengundang pembaziran, pembelian berlebihan juadah berbuka puasa boleh mendorong kepada gaya hidup tidak sihat. – UTUSAN/AMARULLAH ZAINUZZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI pembeli dan pengguna, kita harus merancang dan mengawal pembelian ketika melawat bazar Ramadan, agar tidak boros. Kegagalan membuat perancangan ketika berbelanja di bazar mampu menyebabkan berlakunya perbelanjaan melebihi tahap kemampuan serta menggalakkan risiko pembaziran.

Seeloknya sediakan senarai juadah hendak dibeli sebelum tiba di lokasi. Ini bagi mengelak kejadian rambang mata menjurus kepada pembelian juadah mengikut nafsu lapar keterlaluan.

Jangan terus membuat pembelian apabila tiba melawat gerai terawal. Sebaliknya, tinjau dan bandingkan harga terlebih dahulu, terutamanya jika ada peniaga lain menjual juadah sama. Jangan juga tergoda dengan tawaran harga murah bagi pembelian juadah secara pukal, melebihi satu unit.

Satu aspek penting juga harus dititikberatkan ketika melawat bazar Ramadan ialah memilih peniaga yang mengambil berat soal kebersihan dan keselamatan. Mungkin antara kita berpengalaman terkena keracunan makanan ataupun mendapat makanan basi. Pembeli disarankan untuk memberi tumpuan lebih kepada aspek ini bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan kesihatan. Sebagai contoh, elakkan daripada membeli juadah terdedah, tidak tertutup yang mungkin sudah tercemar dengan habuk, asap dan juga lalat.

Beri juga perhatian kepada peniaga dan pekerja, khususnya dari cara pengendalian makanan. Sepatutnya pengendali makanan sudah menjalani latihan asas pengendalian makanan termasuk memakai penutup kepala, apron dan sarung tangan. Bagi mengelakkan pencemaran silang, sarung tangan seharusnya ditukar selalu, kerana ada peniaga masih menggunakan sarung tangan sama apabila mengambil pesanan, mengendali makanan dan menerima wang dari pembeli.

Elakkan juga daripada membeli makanan yang dibungkus dengan kaedah atau peralatan tidak selamat. Ini kerana masih juga terdapat makanan dibungkus dengan bahan bahaya seperti dawai kokot dan bahan seumpamanya serta menggunakan surat khabar.

Sudah pasti juga, kita sebagai pembeli akan lebih yakin serta tidak was-was sekiranya peniaga mengamalkan etika pengendalian berkesan. Keterjaminan ini dapat diperkasakan andai peniaga dapat memaparkan dokumen jaminan seperti sijil latihan pengendali makanan, sijil vaksin antitifoid serta sijil Bersih dan Selamat (BeSS). Ini dapat mengelak daripada dikaburi peniaga baharu atau ekspres yang hanya muncul berniaga semata mengambil peluang bagi mendapat keuntungan.

Jangan juga mudah terpengaruh dengan menu juadah viral. Seperti kebiasaan, setiap kali bulan Ramadan, ada sahaja menu juadah viral digembar-gemburkan. Ini mengundang lonjakan permintaan dan deretan panjang berbaris menunggu giliran. Apabila ini berlaku, ada kemungkinan makanan ini akan disediakan dengan terburu-buru untuk memenuhi permintaan hingga menyebabkan elemen kebersihan dan keselamatan terlepas pandang.

Selain mengundang pembaziran, pembelian berlebihan juadah berbuka puasa boleh mendorong kepada gaya hidup tidak sihat. Makan berlebihan mengakibatkan kekenyangan melampau. Ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan akibat pemakanan tidak seimbang tetapi pengambilan unsur gula dan lemak tidak terkawal serta berlebihan dalam masa singkat. Bahkan, mampu mengundang rasa malas untuk melakukan ibadat lain yang dituntut seperti mengerjakan solat tarawih dan tadarus al-Quran.-UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Teknologi dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×