JPNJ laksana sekolah dua sesi atasi isu kepadatan pelajar - Utusan Malaysia

JPNJ laksana sekolah dua sesi atasi isu kepadatan pelajar

AZNAN Tamin (lima dari kiri) bergambar bersama-sama guru-guru dan pelajar ketika mengadakan lawatan ke SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berjaya mengatasi isu kepadatan pelajar dengan menyusun sesi persekolahan menjadi dua sesi di sekolah yang berkenaan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat menyediakan sesi pembelajaran yang lebih kondusif dan JPNJ akan sentiasa memantau perkara tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan  jumlah pelajar tidak terlalu ramai di sekolah.

“Hingga kini, keadaan sesi persekolahan adalah terkawal, tidak ada isu jumlah pelajar terlalu ramai sehingga mengganggu sesi pembelajaran.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan, jika perkara itu berlaku, kita akan buat dua sesi. Contohnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkar Pulai juga yang dilaporkan pada tahun lepas berdepan isu kepadatan pelajar, sudah melaksanakan dua sesi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke SMK Tunku Abdul Rahman Putra, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengetua sekolah berkenaan, Abd. Gani Abas.

Dalam pada itu, Aznan memberitahu, isu penyelenggaraan sekolah yang berusia lebih 30 tahun di negeri ini akan diberi tumpuan dalam usaha memberi keselesaan kepada pelajar dan guru. 

“Saya juga akan membuat pemantauan secara berkala di sekolah-sekolah bagi melihat persekitaran dan infrastruktur sekolah berada dalam keadaan yang baik,” katanya sambil memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM15 juta sejak dua tahun lalu bagi menaik taraf infrastruktur di sekolah-sekolah. 

Mengenai kerja membaik pulih SMK Tunku Abdul Rahman Putra yang berusia lebih 50 tahun, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan dana sebanyak RM80,000.

Peruntukkan itu bagi kerja-kerja baik pulih siling yang rosak dan pecah serta kerja-kerja menukar pintu yang usang.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×