Sindiket dadah guna kondominium simpan dadah bernilai RM14.15 juta - Utusan Malaysia

Sindiket dadah guna kondominium simpan dadah bernilai RM14.15 juta

Khaw Kok Chin (tengah) diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (dua kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas pada sidang akhbar mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan dadah bernilai RM14.15 juta di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Lagi sindiket menjadikan kondominium sebagai stor penyimpanan dadah, tumpas selepas dua lelaki ditahan dalam dua serbuan di sekitar daerah ini kelmarin.

Menerusi serbuan yang bermula kira-kira pukul 11 pagi sehingga 12.10 tengah hari itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut menemukan pelbagai dadah bernilai RM14.15 juta.

Pengarah JSJN, Datuk Khaw Kok Chin berkata, penahanan lelaki berusia 33 dan 44 tahun itu dilakukan selepas disyaki bertindak sebagai penjaga stor dan ‘runner’ bagi sindiket terbabit.

Kata beliau, sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai memperoleh dadah-dadah berkenaan dari negara jiran sebelum diedarkan bagi pasaran tempatan terutamanya di Lembah Klang.

“Sindiket ini akan menggunakan perkhidmatan kurier bagi menghantar dadah-dadah ini kepada pelanggan mereka.

“Kedua-dua suspek akan dibayar RM2,000 sehingga RM5,000 sekiranya mereka berjaya membuat penghantaran dadah kepada pelanggan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata beliau, antara dadah yang dirampas adalah 332.443 Kilogram (kg) syabu selain serbuk serbuk methylenedioxy-methamphetamine atau MDMA (6.07 kg) ; erimin 5 (8.1 kg) dan pil ekstasi (15.7 kg).

Kata beliau, kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 1.8 juta penagih. 

Kok Chin berkata, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai empat rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah. 

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, yang mana sebuah kenderaan digunakan mereka dianggarkan bernilai RM38,000 disita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kok Chin memberitahu, siasatan akan diteruskan pihaknya untuk mengesan rangkaian ahli sindiket yang masih bebas untuk dibawa ke muka pengadilan.

“JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,”katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×