KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 80 notis kompaun bernilai RM8,700 kepada peniaga bazar Ramadan yang melakukan pelbagai kesalahan melibatkan pengendalian makanan sejak seminggu lalu.
Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesemua notis kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana peniaga melanggar kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Menurutnya, kesalahan yang dikenal pasti dilakukan oleh peniaga bazar antaranya tidak patuh aspek pakaian pengendali makanan seperti tidak memakai apron, kasut, penutup kepala dan pakaian tidak bersih.
“Sebanyak 1,027 gerai dan 1,672 orang pengendali makanan di bazar Ramadan di seluruh negeri ini telah diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak 991 premis atau 96.5 peratus berada pada tahap bersih.
“Selain itu, 1,592 atau 95.2 peratus pengendali makanan didapati telah mendapat suntikan anti tifoid dan 1,522 telah menghadiri kursus Latihan Pengendali Makanan (LPM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran ‘Walkabout’ Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Lembah Sireh, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zaini memberitahu, pihaknya telah menerima satu notifikasi episod kejadian keracunan makanan di dewan asrama sebuah sekolah di daerah Kuala Krai yang berlaku pada 14 Mac lalu.
Katanya, kesemua 76 pelajar berkenaan telah dirawat di hospital berdekatan sebagai pesakit luar.
“Setakat ini, kita belum menerima sebarang kes keracunan makanan yang melibatkan makanan di bazar Ramadan kecuali satu aduan penemuan bendasing di dalam makanan yang diterima di sebuah bazar di Kuala Krai.
“Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan dengan mengimbas kod QR yang terdapat pada poster promosi keselamatan makanan di setiap bazar Ramadan,” ujarnya.-UTUSAN










