Rayuan akhir kes bakar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini

Rayuan akhir kes bakar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan akhir seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran, tujuh tahun lalu, didengar oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Pemuda itu (penama pertama) merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mengekalkan perintah agar dia ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, pihak pendakwaan tidak memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan seorang lagi pemuda juga berusia 22 tahun (penama kedua) daripada kesalahan serupa.

Pada 11 September 2023, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa penama pertama bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya bo­leh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.

Panel itu turut berpendapat, keterangan pihak pendakwaan begitu kuat bahawa penama pertama merupakan pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi mensabitkan pemuda itu terhadap ke­semua pertuduhan.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihada­pinya.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaima­napun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×