BNM pantau trend pegang mata wang asing - Utusan Malaysia

BNM pantau trend pegang mata wang asing

Bank Negara Malaysia (BNM) mempertingkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia di samping menarik lebih ramai pelabur untuk melabur dalam negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memantau secara rapat syarikat korporat, pengimport dan pengeksport supaya menukar wang pendapatan pelaburan luar negara mereka kepada ringgit bagi menyokong pertumbuhan mata wang tempatan.

Gabenor, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pemantauan BNM mendapati terdapat trend untuk memegang mata wang asing lebih lama.

Katanya, ini terjadi apabila syarikat korporat atau pengeksport mengambil masa untuk menukar perolehan mereka dari mata wang ke ringgit, seterusnya menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam pasaran tukaran mata wang asing.

“Bagi mencapai tujuan ini, BNM telah bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan aliran masuk yang akan membolehkan nilai ringgit mencerminkan asas dan prospek ekonomi Malaysia dengan sewajarnya.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah digalakkan untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkannya kepada ringgit secara konsisten,” katanya pada taklimat media Laporan Tahunan 2023 di Sasana Kijang di sini, semalam.

Menurutnya, BNM telah mempertingkat libat urus dengan pengeksport dan pelabur antarabangsa untuk terus menggalakkan penukaran mata wang dan menekankan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

“Pada masa sama, BNM kekal komited untuk mengekalkan keadaan pasaran kewangan domestik yang teratur menerusi operasi mudah tunai dan pertukaran asing, sambil terus mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan lagi kecekapan, mudah tunai dan kebolehcapaian pasaran,” katanya.

Beliau berkata, ringgit ketika ini adalah dibawah nilai dan menerima respon positif daripada pedagang mata wang iaitu kebanyakan mereka mahu memegang ringgit lebih lama.

“Langkah-langkah ini secara kolektif akan menyumbang kepada aliran masuk yang lebih besar dan berterusan lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh.

“Kami juga telah memerhatikan aliran dan minat pasaran terhadap pembelian ringgit semakin meningkat,” ujarnya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, pasaran kewangan menjangkakan ringgit terus menambah nilai dalam tahun 2024 dan trend penambahan nilai ini akan berterusan berikutan kesan faktor global menjadi semakin reda.

“Beberapa penganalisis telah membuat unjuran sehingga tahun 2025 dan menilai ringgit akan terus kukuh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×