ISKANDAR PUTERI: Cubaan sindiket penyeludupan rokok menggunakan permainan plastik untuk mengaburi pihak berkuasa gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini berjaya merampas 21.7 juta batang rokok dalam dua pemeriksaan berasingan pada 4 Mac dan 13 Mac lalu.
Pengarah Kastam negeri, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, kedua-dua rampasan dengan anggaran nilai rokok berserta duti kastam bernilai RM18.3 juta itu dilakukan pihaknya di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah di sini.
“Modus operandi sindiket itu adalah dengan meletakkan 160 kotak berisi permainan plastik kanak-kanak di bahagian hadapan kontena, manakala rokok seludup pula diletakkan di bahagian belakang.
“Semasa pemeriksaan teliti dibuat, pegawai mendapati rokok-rokok seludup itu tidak diikrarkan,” katanya dalam sidang akhbar di JKDM Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini hari ini.
Kedua-dua kontena yang dirampas dalam itu dalam perjalanan ke destinasi akhir, iaitu Mexico, katanya sambil memberitahu usaha mengesan pemilik barangan dagangan berkenaan sedang dilakukan
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kejayaan pihaknya menumpaskan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM1.8 juta di kawasan sama pada 29 Januari lalu.
“Minuman keras pelbagai jenama sebanyak 69,360 tin dan bersamaan dengan 60,996 liter itu ditemukan dalam tiga buah kontena berbeza. Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pengikraran mengelirukan terhadap barangan dagangan,” katanya.
Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan tidak benar yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










