Sultan Ibrahim murka

Sultan Ibrahim murka

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 di Istana Negara, semalam. Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith So ah, sambil diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. – FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Per­tuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu kalimah Allah yang timbul lagi walaupun baginda sudah memberi peringatan sebelum ini.

Ini ekoran isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah rangkaian kedai serbaneka, baru-baru ini.

Justeru, baginda mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sa­nubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ra­madan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepen­tingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak. Sama ada ia di­im­port atau dikeluarkan di ki­lang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada, supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka dalam hantaran di Facebook Royal Press Office.

Sultan Ibrahim sebelum ini, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu bertitah mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Baru-baru ini, rangkaian kedai serbaneka, KK Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway dekat sini, minggu lalu.

Selain itu, syarikat pembekal stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart, Xin Jian Chang Sdn. Bhd. menjelaskan pihaknya tidak pernah berniat memesan produk tersebut sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Menerusi kenyataan, syarikat tersebut menjelaskan, semua pesanan dibuat berdasarkan sampel diberikan selain nasihat terhadap pembekal di China juga diberi secara konsisten.

Sultan Ibrahim juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warga Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah Seri Paduka.

Dalam majlis berasingan, Sultan Ibrahim memberi peringatan bahawa baginda memikul amanah raja-raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Sehubungan itu, titah Seri Paduka, sebaik sahaja selesai tempoh ‘bulan madu’, baginda akan melaksanakan cara pemerintahan yang sebenarnya.

“Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri.

“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk ketua negara.

“Apabila habis tempoh bulan madu ini, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah Sultan Ibrahim sempena istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah
Persekutuan di Istana Negara, semalam.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×