Keracunan makanan boleh dielak

Peniaga bazar Ramadan wajib ambil vaksin typhoid

BAZAR Ramadan sentiasa menjadi tumpuan para pengunjung saban tahun untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka dan aneka kuih-muih serta minuman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP peniaga perlu memastikan makanan yang dijual dimasak dengan sempurna bagi memastikan semua bakteria pada bahan mentah dapat dimatikan atau dimusnahkan.

Suhu bagi memastikan suatu makanan itu masak dengan sempurna adalah berbeza berdasarkan jenis makanan terutama protein yang hendak dimasak serta saiznya.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Siti Shahara Zulfakar, berkata, secara amnya setiap makanan itu hendaklah dimasak sekurang-kurangnya pada suhu lebih 70 darjah celcius.

Bagi makanan yang berkuah, jelasnya, ia perlu dimasak sehingga mendidih.

“Bagi produk daging termasuk daging ayam, suhu dalaman daging tersebut perlu mencapai sekurang-kurangnya 74 hingga 75 darjah celcius.

“Bagi bahan mentah protein, pastikan ia dinyahbeku dengan sempurna sebelum dimasak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, makanan yang tidak habis tidak boleh dijual semula pada keesokan harinya.

Terutamanya, sekiranya makanan tersebut telah terdedah kepada zon suhu bahaya iaitu di antara lima hingga 60 darjah celcius.

“Pada suhu tersebut, bakteria akan membiak aktif dan menyebabkan makanan itu mempunyai bilangan bakteria yang sangat tinggi serta
mendatangkan risiko keracunan makanan.

“Dalam sudut lain, sekiranya peniaga berbuat demikian, sudah pasti menyebabkan pengguna berasa tertipu.

“Ini kerana, mereka membeli makanan tersebut dengan anggapan ia adalah baru dimasak dan disediakan pada hari tersebut,” jelasnya.

Peralatan yang digunakan semasa mengendalikan bahan mentah dan bahan sedia dimakan juga perlu dititikberatkan oleh golongan peniaga.

SITI SHAHARA ZULFAKAR

Dr. Siti Shahara menjelaskan, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang di antara bahan makanan tersebut.

“Peralatan bagi bahan yang tidak dimasak seperti salad, timun atau buah perlu diasingkan dengan makanan yang perlu dimasak seperti
ayam goreng.

“Kain lap yang digunakan untuk mengelap tangan, permukaan peralatan serta peralatan permukaan tempat penyediaan makanan juga
sepatutnya berbeza bagi setiap kegunaan,” jelasnya.

Semua pengendali makanan walaupun hanya berniaga ketika bulan Ramadan perlu mendapatkan suntikan vaksin typhoid dan Sijil Latihan Pengendali Makanan berdasarkan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983.

“Sekiranya tidak patuh, pengendali makanan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun,” katanya.

KAWAL JUMLAH MENU MASAKAN
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa bazar Ramadan mendapati ada peniaga yang sememangnya mengambil berat mengenai aspek keselamatan makanan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Misalnya, keracunan makanan kerana ia bukan sahaja memusnahkan reputasi perniagaan, malah turut membahayakan nyawa pembeli.

Berpengalaman berniaga di bazar Ramadan sejak 2015, membuatkan peniaga kambing bakar ini sangat mementingkan aspek keselamatan dan kebersihan dalam pengendalian makanan.

Mohd. Asyraf Mohamed Yusof, 36, berkata, beliau mewajibkan kesemua pekerja mengambil suntikan typhoid bagi mencegah sebarang jangkitan kuman.

“Semua staf dilatih mengenai penyediaan dan mempunyai sijil pengendalian makanan. Mereka juga diwajibkan memakai apron dan sarung tangan ketika berniaga,” katanya yang mempunyai tiga tapak bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya, Bandar Seri Putra dan Bandar Baru Bangi.

Sementara itu, peniaga nasi ambeng, Muhammad Aizuddin Mohd. Samson,23, turut menitikberatkan aspek keselamatan makanan sebelum
dijual kepada pembeli.

Apatah lagi, hidangan yang dijual itu adalah makanan yang cepat basi.

Dia yang berniaga di Bazar Ramadan di Pekan Baru, Merlimau, Melaka sentiasa memastikan menu nasi ambeng yang dijual adalah yang baharu dimasak setiap hari.

Malah, dia juga tidak lokek untuk bersedekah kepada orang terdekat sekiranya ada lebihan makanan.

Dia sentiasa mengamalkan prinsip untuk tidak menjual semula makanan semalam atau lebihan makanan kepada pelanggan.

“Selalunya kalau ada lebihan saya akan sedekah pada jiran-jiran. Setiap hari saya akan masak lauk baharu dan bukannya panaskan lauk
semalam yang tak habis dijual.

“Saya juga menitikberatkan aspek kebersihan seperti memakai paron, penutup kepala, sarung tangan dan berkasut,” katanya yang berniaga di kantin sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×