KUALA LUMPUR: Fasal dalam Rang Undang-Undang (RUU) RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 yang dianggap memberi kuasa berlebihan kepada Perdana Menteri, perlu ditukar, sebaliknya diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Fasal 32 dan 33 dalam RUU tersebut yang mana kuasa untuk mengecualikan diberi secara penuh kepada Perdana Menteri, adalah tidak wajar untuk perundangan negara.
Menurut beliau, Fasal itu menunjukkan Perdana Menteri mempunyai kuasa sekiranya mahu mengecualikan sesuatu negara daripada undang-undang tersebut.
“Kita tidak tolak undang-undang itu, ia baik (dan) kami semua bersetuju tetapi pengecualian itu yang amat penting dan kritikal di sini. Itu menyebabkan kita tidak bersetuju dengan undang-undang yang (diluluskan) begitu sahaja.
“Kami merasakan ada ruang untuk menambah baik undang-undang ini dengan memberikan penambahan, pinda satu sahaja kita minta (iaitu) Perdana Menteri selepas berbincang atau berunding dengan Yang di-Pertuan Agong boleh beri pengecualian,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU tersebut bertujuan mengawal selia kekebalan diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut menyatakan kebimbangannya sekiranya Perdana Menteri ‘dicubit’ oleh mana-mana pihak yang mempunyai kuasa lebih besar dan meminta pengecualian tersebut.
“Sebab itu, kita nak (kuada pengecualian tersebut) diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, siapa sahaja yang setuju kalau satu hari nanti (negara) kena, dia (Ahli Parlimen yang bersetuju) dia bertanggungjawab,” tegasnya.
Sependapat dengan Hamzah, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sudah melakukan perbandingan mengenai RUU tersebut yang turut dilaksanakan oleh negara-negara luar iaitu United Kingdom (UK), Australia dan Singapura.
Jelasnya, negara tersebut tidak memberikan kuasa pengecualian kepada Perdana Menteri mereka berbanding Malaysia.
“Di Australia, bila Menteri Luar dapati ada negara-negara yang melakukan sesuatu perkara yang tidak selaras dengan akta dan apa-apa pengecualian nak dibenarkan Gabenor General mereka boleh mengeluarkan perintah itu, bukan Perdana Menteri atau Menteri itu sendiri.
“Di Singapura, Presidennya hanya mempunyai kuasa untuk memberikan extension and restriction. Di UK, Raja hanya mempunyai kuasa untuk memberi pengecualian ini. Kenapa di Malaysia (pula adalah) Perdana Menteri?.
“Memang di bawah akta itu ada Majlis Kekebalan Negara Asing yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Jadi, kalau majlis itu membuat perakuan, Perdana Menteri (pula) membuat satu perintah. (Ini) tidak kena.
“Sepatutnya seperti kita cadangkan iaitu adalah ketua negara iaitu Yang Di-Pertua Agong,” jelasnya. –UTUSAN










