MUKADIMAH
HAMPIR setiap hari dilaporkan berita tentang jenayah scam yang menelan kerugian ratusan juta ringgit.
Bagai tiada kesudahan, masyarakat dengan mudah terpedaya dengan pelbagai bentuk penipuan.
Justeru wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF bagi mendapatkan perspektifnya.
UTUSAN MALAYSIA: Adakah rakyat di negara ini mudah ditipu menerusi sindiket-sindiket pelaburan berbanding negara lain dan apakah faktor mereka mudah ditipu?
RAMLI: Kalau dilihat, penipuan pelaburan merupakan antara kategori jenayah yang sedang meningkat naik, tidak hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Ada beberapa faktor yang mengakibatkan seseorang menjadi mangsa penipuan pelaburan. Namun punca utama ialah pada diri sendiri dan ia tidak mempunyai perkaitan dengan kewarganegaraan atau seumpamanya.
Peningkatan kos sara hidup, inflasi dan ketidaktentuan ekonomi global menjadi sebab jenayah ini terus meningkat. Ramai individu ingin mencari pendapatan tambahan dan menyertai skim pelaburan sebabnya ia dilihat sebagai pilihan yang sesuai.
Namun, dalam keghairahan mereka untuk melabur, ramai di antaranya yang tidak memiliki ilmu pengetahuan yang mencukupi dan mengetepikan segala peraturan serta langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.
Tawaran keuntungan yang tinggi serta pelaburan tanpa risiko menjadikan golongan ini terpesona dan seterusnya terjerumus sebagai mangsa skim penipuan pelaburan.
Jumlah syarikat pelaburan yang dikenal pasti terlibat dengan penipuan setakat ini?
Berdasarkan rekod, sepanjang 2023, sejumlah 168 syarikat dikenalpasti terlibat dengan kegiatan penipuan pelaburan.
Bagi 2024 pula, setakat ini sejumlah 17 syarikat telah dikenalpasti.
Bagaimana rakyat boleh memahami dan mengetahui bahawa sesebuah syarikat pelaburan itu terlibat dengan aktiviti penipuan?
Secara umumnya, ciri-ciri bagi skim pelaburan palsu ada pada empat perkara iaitu tawaran pelaburan yang terlalu tinggi, pulangan pelaburan yang terlalu cepat, tiada risiko kerugian dan menggunakan akaun persendirian bagi menerima dana pelaburan.
Selain itu, pihak JSJK telah membangunkan Portal Semakmule 2.0 yang menyenaraikan syarikat-syarikat yang terlibat dengan aktiviti mule akaun.
Portal ini telah dilancarkan secara rasmi pada 3 Mac 2024 yang lalu dan boleh diakses melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/.
Antara lain, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) juga telah pun membangunkan platform ‘investment checker’ yang boleh diakses melalui https://www.sc.com.my/investmentchecker.
Platform ini dapat membantu orang ramai untuk membuat semakan kesahihan sesebuah syarikat pelaburan.
EVOLUSI
Adakah evolusi membabitkan penipuan syarikat pelaburan terus berkembang seiring dengan teknologi ?
Ya. Berdasarkan kes yang dilaporkan dan siasatan yang dijalankan, modus operandi penipuan pelaburan berubah seiring dengan kemajuan teknologi.
Sebagai contoh, sekitar lima hingga 10 tahun yang lalu, pelaburan yang diiklankan oleh sindiket penipuan adalah berasaskan perniagaan, ternakan, perladangan dan seumpamanya.
Namun kini, pelaburan yang ditawarkan adalah berasaskan perniagaan mata wang kripto, forex dan seumpamanya.
Taktik untuk mencari mangsa juga diubah daripada penggunaan kaedah tradisional seperti penyebaran risalah dan seminar kepada iklan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram, Whatsapp dan lain-lain.
Adakah penipuan yang membabitkan syarikat pelaburan seringkali melibatkan golongan selebriti dan mereka yang berpengaruh?
Penglibatan selebriti atau mereka yang berpengaruh dalam kegiatan penipuan pelaburan amat jarang berlaku, namun ada.
Kebanyakan mereka digunakan untuk mempromosi pelaburan tersebut tanpa mereka mengetahui bahawa skim pelaburan tersebut adalah palsu.
Pandangan berkenaan cadangan kerajaan di Parlimen baru-baru ini yang mahu merangka akta baharu bagi mencegah jenayah siber?
Saya menyokong penuh cadangan kerajaan untuk merangka akta baharu dalam mencegah jenayah siber.
Keputusan tersebut adalah tepat dan seiring dengan peningkatan kes-kes jenayah siber yang berlaku pada masa kini. Adalah diharapkan, akta baharu tersebut akan membantu dalam mengurangkan kes-kes jenayah siber di negara ini.
Adakah wajar bank juga dikenakan tindakan dan dipertanggungjawab dalam apa-apa transaksi yang melibatkan jenayah siber?
Dalam perlakuan jenayah siber, ia akan melibatkan penggunaan teknologi komunikasi (internet) yang disediakan syarikat telco dan penggunaan akaun bank yang disediakan institusi perbankan.
Justeru, dalam usaha untuk mengawal peningkatan jenayah siber di negara ini, saya percaya semua organisasi yang terlibat harus memainkan peranan dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.
Pendekatan ini telah pun digunakan oleh Kerajaan Singapura yang memperkenalkan Shared Responsibility Framework untuk membendung kes ‘phishing scam’ di sana.
Melalui pendekatan ini, pihak institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi yang gagal melaksanakan peranan mereka dengan sewajarnya boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar kerugian yang dialami oleh mangsa.
Adakah sukar untuk mengekang isu jenayah dalam talian dari luar negara?
Ya, jenayah dalam talian dari luar negara akan mengakibatkan wujudnya isu jenayah rentas sempadan.
Perbezaan undang-undang antara negara menjadikan jenayah sebegini sukar untuk disiasat.
Bagaimanapun, melalui kerjasama yang terjalin antara Malaysia dan negara-negara lain, kes-kes rentas sempadan ini dapat diselesaikan serta ditangani dengan sebaiknya. – UTUSAN










