PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan melepaskan sebanyak 350,400 ekor benih udang galah di tujuh lokasi perairan umum di negeri ini sebagai usaha menambah stok ikan darat yang ada.
Timbalan pengarahnya, Doreen Wee Siew Leen berkata, benih udang galah yang disumbangkan oleh Pusat Pembenihan Udang Galah (PPUG), Kampung Acheh, Perak itu telah dilepaskan di sungai-sungai di tujuh daerah yang mempunyai taburan udang galah.
Jelas beliau, ia termasuklah di Sungai Linggi di kawasan Pengkalan Kempas di sini yang terkenal sebagai lubuk ‘sepit biru’ itu.
“Program pelepasan benih udang galah ini memang memberi manfaat kepada golongan nelayan darat dan juga pemancing-pemancing rekreasi. Hari ini setiap daerah kami lepaskan kira-kira 50,000 ekor benih udang galah.
“Selepas lima hingga enam bulan benih udang galah akan membesar dan boleh diperoleh hasilnya namun perlu diketahui kita tidak akan dapat semula 100 peratus daripada benih-benih udang yang dilepaskan ini kerana ia juga menjadi makanan buat banyak ikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pelepasan Benih Udang Galah Serentak Seluruh Negeri Sembilan di Sungai Linggi di Pengkalan Kempas di sini hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli.
Doreen Wee dalam pada itu berkata, tahun lalu, pihaknya telah melepaskan sebanyak 123,921 ekor benih ikan air tawar seperti kelah, lampam sungai, baung sungai serta udang galah ke 19 lokasi perairan umum di seluruh negeri ini.
Beliau sementara itu memberitahu, tiada kes melibatkan aktiviti mengebom ikan di sungai pernah diterima di negeri ini melainkan aktiviti meracun atau menuba serta menerusi kaedah renjatan elektrik.
“Tahun ini kami ada menerima empat kes menuba di kawasan Sungai Linggi, ia merupakan aduan daripada nelayan-nelayan di sini namun malangnya pelakunya tidak dapat ditangkap. Selain itu kami juga sebelum ini ada menerima kes berkaitan kaedah tangkapan ikan menggunakan renjatan elektrik di Sungai Triang, Jelebu.
“Kami menasihatkan orang ramai yang mencari rezeki di sungai supaya menggunakan kaedah menangkap ikan yang betul dan mesra alam supaya tidak menyebabkan sebarang kemusnahan habitat dan sumber perikanan,” katanya lagi.-UTUSAN.










