Harga martabak naik jadi RM8 di Jerantut

Harga martabak naik jadi RM8 di Jerantut

BURHANUDDIN Saufi menjual martabak RM8 sekeping di Bazar Ramadan Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Peniaga martabak di daerah ini tiada pilihan terpaksa menaikkan harga makanan itu RM1 menjadi RM8 pada bulan Ramadan kali ini disebabkan kenaikan harga bahan mentah terutama daging.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga martabak di Bazar Ramadan Jerantut, Burhanuddin Saufi, 40, berkata, tahun lalu, daging kotak import dibeli pada harga RM275, tetapi tahun ini meningkat menjadi RM360.

“Seguni bawang Belanda seberat 12.5 kilogram dijual RM60 tahun ini berbanding RM15 pada tahun lalu. Harga kentang juga turut meningkat sehingga kebanyakan peniaga martabak di sini sepakat untuk menjual dengan harga RM8 sekeping,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi peniaga, Hamizan Jorit, 47, menjelaskan, sebenarnya martabak sepatutnya dijual RM8 tahun lalu kerana harga barangan sudah naik, tetapi semua peniaga sepakat cuba bertahan dengan harga RM7 sekeping.

“Tahun ini memandangkan harga daging, bawang dan kentang meningkat, kami menaikkan harga martabak kepada RM8 dengan saiz yang sama.

“Kami sebenarnya boleh menjual pada harga RM7, tetapi kena kecilkan saiz dan mengurangkan ketebalan makanan ini, tetapi tidak relevan untuk juadah berbuka melainkan naikkan harga RM1 supaya martabak kelihatan unggul,” katanya.

Menurutnya, lumrahnya pada awal Ramadan masih tidak ramai pengunjung ke bazar itu untuk membeli martabak, tetapi apabila seminggu puasa terutama hujung minggu, permintaan meningkat.

“Saya menjual martabak dua perisa iaitu daging dan ayam, purata sebanyak 500 hingga 900 keping sehari dan jualan turut bergantung keadaan semasa seperti cuaca,” katanya.

Seorang pengguna dari Jengka, Rahman Ramlan, 40, berkata, setiap kali Ramadan, seminggu tiga kali dia ke bazar Ramadan bandar itu untuk membeli martabak sebagai juadah berbuka puasa.

“Saya sudah membeli martabak di serata tempat termasuk di luar daerah, tetapi martabak di Jerantut menjadi pilihan saya kerana keunikan rasanya.

“Bukan sahaja saya malah rakan-rakan turut mengakui martabak di bazar Jerantut adalah sedap, lembut dan berperisa sama ada martabak daging atau ayam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×