PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diingatkan supaya mengambil pendirian tegas dalam isu membabitkan pencen penjawat awam tanpa memberikan alternatif lain kepada kerajaan.
Hal ini disebabkan kongres tersebut dilihat seolah-olah sudah bersetuju dengan dengan cadangan untuk memansuhkan pencen penjawat awam yang merupakan tulang belakang kepada negara.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Presiden Cuepacs yang mencadangkan Ahli Parlimen mengambil satu pencen sahaja walaupun memegang banyak jawatan dilihat sebagai tindakan cuba mengalihkan isu sebenar yang sedang berlaku.
Menurutnya, cadangan itu menunjukkan seperti kongres tersebut bersetuju dengan cadangan memansuhkan pencen penjawat awam.
“Tak boleh begitu, kalau kita setuju dikekalkan pencen, kekalkan terus. Jangan beri alternatif apa pun kerana saya berpendapat pencen kakitangan kerajaan perlu diteruskan.
“Mereka ini bukan saja tulang belakang negara bahkan golongan tersebut menjaga sektor terpenting seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan. Kita tak boleh berkompromi dengan segala pengorbanan penjawat awam kepada negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat mencadangkan supaya ahli politik bertaraf wakil rakyat dan anggota Kabinet hanya menerima satu sahaja pencen daripada beberapa jawatan yang pernah mereka sandang ketika berkhidmat bagi mengurangkan beban kewangan kepada kerajaan.
Beliau berkata, ketika ini ada dalam kalangan bekas menteri yang turut menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pencen untuk setiap jawatan itu.
“Mereka harus menerima satu sahaja pencen iaitu kadar mana yang paling tinggi antara semua pencen yang diterimanya, misalnya menteri, timbalan menteri atau EXCO negeri, tidak perlu diberi pencen Ahli Parlimen atau ADUN lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, walaupun berpendirian pencen penjawat awam harus dikekalkan, namun jika alasan kerajaan memansuhkan skim persaraan tersebut kerana menjadi beban kewangan kepada negara, kerajaan boleh memperkenalkan alternatif lain dalam lantikan baharu kakitangan awam.
“Ada pun pada hakikatnya saya setuju pencen dikekalkan, untuk penjawatan baharu kita buka dua pilihan mahu (skim persaraan) pencen atau (caruman) KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Kalau kerajaan kata beban (kewangan) semakin bertambah disebabkan kita menuju ke arah negara menua maka perkenalkan opsyen dalam skim persaraan penjawat awam lantikan baharu sahaja,” katanya.
Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, jika kerajaan dapat memperkenalkan pakej menarik dalam skim persaraan KWSP sudah pasti ramai penjawat awam lantikan baharu akan memilih alternatif tersebut.
“Saya juga mempunyai cadangan jika betul kerajaan mahu memperkenalkan skim persaraan KWSP untuk menarik minat anak muda yang mahu sertai kerajaan memilihnya,” katanya. – UTUSAN










