MUAR: Seorang pekerja kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur secara beramai-ramai, awal bulan ini.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Khidzir Abu Seman, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Khidzir didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap kekasihnya yang berusia 15 tahun di rumah tertuduh di Parit Gantong, dekat sini pada pukul 6.30 petang, 5 Mac lalu.
Tertuduh telah dtahan dan direman pada 9 Mac yang lalu selepas mangsa membuat laporan telah dirogol.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursulehan Abd. Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di Balai Polis Parit Jawa setiap bulan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berlangsung.
Mahkamah turut menetapkan 3 April depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen. – UTUSAN










