GEORGE TOWN : Bekalan air di Pulau Pinang dianggap sebagai ‘tidak selamat’ sehingga hujan turun dan air kembali memenuhi empangan di sini selain Empangan Muda di Kedah.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K.Pathmanathan berkata, PBAPP merayu kepada semua pengguna air di negeri ini supaya mengurangkan penggunaan air mereka sebanyak 10 peratus dengan serta-merta.
Katanya, pengguna juga perlu mengelak daripada menggunakan hos air untuk menyiram taman, membersih kenderaan atau premis dan mereka dinasihatkan agar mengunakan air dengan berhemat di rumah atau di tempat kerja.
“Anggaran penggunaan air di Pulau Pinang telah mencecah 927 juta liter sehari (JLH) semalam, berbanding purata 877 JLH pada 2023.
“Dalam hal ini, PBAPP cuba mengeluarkan sebanyak mungkin air tetapi peningkatan penggunaan sebanyak 50 JLH ini menyebabkan berlakunya masalah bekalan air di beberapa kawasan di Daerah Barat Daya (DBD) dan Seberang Perai Selatan (SPS),”katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, kapasiti efektif Empangan Air Itam kini telah menurun sebanyak 0.8 peratus iaitu daripada 38.1 peratus pada Jumaat lalu, kepada 37.3 peratus, semalam.
“PBAPP juga terpaksa melepaskan lebih 11 JLH dari empangan dan Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam dan terpaksa mengeluarkan 25 JLH air terawat untuk memenuhi permintaan air yang meningkat.
“Sejak 5 Februari lalu, menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024), PBAPP juga telah meningkatkan kapasiti efektif empangan sebanyak 4.5 peratus daripada 32.8 peratus pada 5 Februari kepada 37.3 peratus, semalam.
“Salah satu daripada faktor utama yang akan menentukan kejayaan berterusan AIDAP 2024 ialah penggunaan air yang sederhana. Dalam hal ini, PBAPP telah mengepam 33 JLH air dari LRA Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan bekalan air Air Itam untuk meningkatkan kapasiti efektif empangan itu secara beransur-ansur,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, jika PBAPP tidak dapat meneruskan mengepam 33 JLH air terawat dari Seberang Perai ke Air Itam disebabkan penggunaan air yang luar biasa tinggi, AIDAP 2024 tidak akan berfungsi dan akan terdapat lebih banyak isu bekalan air yang meluas di DBD dan SPS.
Sementara itu, Pathmanathan berkata, PBAPP akan terus mengabstrak sebanyak mungkin air mentah dari Sungai Muda setiap hari untuk memenuhi permintaan air di Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, operasi pelepasan air dari Empangan Muda dan Empangan Beris ke Sungai Muda ketika musim kemarau terletak di tangan pihak berkuasa Kedah.
“Namun begitu, kakitangan PBAPP bersiap sedia untuk melepaskan maksimum 600 JLH dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD), apabila kita tidak dapat mengabstrak air yang mencukupi dari Sungai Muda,” katanya.-UTUSAN










