ARAU: Seorang pesara kerajaan ditemukan meninggal dunia ketika sedang mendengar kuliah subuh dalam kejadian di Masjid Negeri, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Yahya Kadir, 65, ditemukan oleh salah seorang jemaah dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 7.05 pagi.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rod berkata, menurut saksi kejadian, mangsa dikatakan sedang berada dalam keadaan duduk sewaktu mendengar kuliah Subuh itu dan dia kemudiannya didapati rebah secara tiba-tiba.
“Mangsa bukannya ahli kariah Masjid Negeri dan hanya hadir ke sana sekiranya ada program kuliah dianjurkan.
“Saksi cuba untuk mengejut mangsa beberapa kali tetapi tiada sebarang tindak balas,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, pihak masjid kemudiannya bertindak memaklumkan kejadian itu kepada polis dan pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pemeriksaan dilakukan oleh pasukan perubatan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengesahkan mangsa terlibat telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa juga tidak menemui sebarang tanda-tanda atau kesan-kesan perbuatan jenayah.
“Untuk rekod mangsa juga adalah pesakit diabetis dan darah tinggi yang perlu mengambil preskripsi ubatan harian mengikut masa ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada kesalahan dizahirkan (NOD) berpandukan kepada kenyataan saksi terlibat.-UTUSAN










