Ibu terduduk hadapan tubuh anak - Jiran - Utusan Malaysia

Ibu terduduk hadapan tubuh anak – Jiran

MAYAT kanak-kanak berusia setahun enam bulan yang maut disyaki dikelar ibunya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk proses bedah siasat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Saya lihat ibu mangsa terduduk di hadapan tubuh kanak-kanak yang ditutup dengan selimut, manakala lantai berdarah.”

Demikian cerita seorang jiran kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden wanita mengelar leher anak kandungnya sehingga maut di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, di sini.

Wanita tersebut amat terkejut apabila mengetahui tentang kejadian itu kerana suspek merupakan jiran yang baik dan kerap bertegur sapa, malah mangsa juga berkawan dengan dua orang anaknya.

“Tengah hari semalam, seorang jiran lain memanggil dan meminta saya melihat apa yang berlaku di rumah mangsa, kemudian baru saya masuk ke rumah mangsa dan mendapat tahu apa yang telah berlaku. Saya ada memanggil wanita itu tetapi dia kelihatan seperti tidak sedarkan diri dan termenung sahaja, tidak menjawab sebarang panggilan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Ibu kepada dua orang anak itu turut mengalami trauma akibat menyaksikan kejadian itu sehingga sukar untuk melelapkan mata malam tadi.

“Bukan saya sahaja, malah anak sulung saya yang berusia sembilan tahun juga terkejut kerana dia selalu bermain-main dengan mangsa, agak rapat juga mereka,” jelasnya.

Seorang lagi jiran keluarga tersebut memberitahu, tiga sekeluarga itu merupakan antara jiran yang aktif menyertai program anjuran penduduk setempat.

“Malam sebelum kejadian, mereka bertiga datang ke rumah saya dan memberi donat untuk hidangan berbuka puasa. Bukan di rumah saya sahaja, malah beberapa rumah jiran terdekat dengan mereka.

“Mula-mula tidak fikir apa-apa tetapi apabila jadi begini lain rasanya kerana itu pertama kali mereka memberi hidangan sempena Ramadan. Sedap juga donat yang diberikan itu,” katanya yang merupakan seorang pekerja kilang di Pasir Gudang.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an memberitahu hubungan keluarga tersebut normal seperti keluarga lain, malah pasangan suami isteri itu turut selalu dilihat bermain bersama-sama anak mereka di luar rumah, khususnya pada waktu petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×