Protes awal pagi elak pertempuran - Utusan Malaysia

Protes awal pagi elak pertempuran

SEORANG penunjuk perasaan menerima bantuan perubatan selepas terkena tembakan yang dilepaskan pasukan keselamatan di Mandalay, Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Peserta demonstrasi yang menentang junta tentera Myanmar memilih mengadakan aksi tunjuk perasaan pada waktu pagi bagi mengelak pertempuran dengan pasukan keselamatan. 

Sejumlah penduduk termasuk guru berhimpun dan berarak di sekitar jalan utama di Mandalay dengan setengah daripadanya membawa plakad mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masuk campur untuk menangani krisis di negara ini.

Demonstrasi awal pagi itu juga dilakukan di beberapa tempat di Yangon.

Mandalay yang merupakan bandar kedua terbesar di Myanmar menjadi antara ‘zon panas’ pergolakan politik di negara ini apabila lapan lagi penunjuk perasaan maut dalam demonstrasi kelmarin dan 50 cedera.

Protes itu turut disertai oleh golongan sami Buddha yang menyalakan lilin pada waktu petang dan bunyi tembakan masih dapat didengar sehingga pukul 11 malam waktu tempatan.

Sementara itu, kerajaan Kanada dan Australia mengesahkan pihaknya memberikan bantuan kepada dua ahli perniagaan yang ditahan di Myanmar. 

Difahamkan, Matthew O’Kane dan Christa Avery yang memiliki dua kerakyatan Kanada-Australia dikenakan tahanan rumah selepas cuba meninggalkan negara ini menerusi pesawat bantuan pada Jumaat lalu. 

Menteri Luar Kanada dan Australia menolak memberikan sebarang komen lanjut mengenai perkara tersebut. 

Kecaman antarabangsa termasuk dari Washington, Brussels dan PBB ternyata gagal menghentikan pertumpahan darah di Myanmar, malah keadaan menjadi semakin teruk menyaksikan kes kematian terus meningkat. 

Menerusi langkah baharu untuk memberikan tekanan diplomatik kepada ketenteraan Myanmar, menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) dijangka meluluskan sekatan terhadap 11 pegawai junta hari semalam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×