KOTA KINABALU: Slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) akan menjadi retorik semata-mata sekiranya kerajaan negeri gagal mengeluarkan lapan daerah di Sabah daripada senarai daerah termiskin.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika isu daerah termiskin ini tidak mampu diselesaikan segera maka, Pelan Hala Tuju SMJ yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri selama ini gagal mencapai matlamatnya.
“Perlu ada tindakan dan penyelasaian bersepadu jika tidak mahu melihat hala tuju SMJ sekadar retorik semata-mata dan gagal mencapai matlamatnya. Ia mengambarkan slogan tersebut sudah tidak relevan
“Pada masa sama, imej kerajaan negeri akan tercalar maka, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera untuk mengeluarkan lapan daerah daripada garis kemiskinan.
“Tiada guna kita gagah dengan slogan (SMJ) tetapi, ia gagal dilaksanakan untuk kebaikan dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, langkah penyelesaian yang lebih konkrit dan bersepadu perlu diambil oleh kerajaan negeri bagi menoktahkan kemiskinan di lapan daerah termiskin tersebut.
Lapan daerah yang termiskin adalah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Ranau, Lahad Datu dan Tuaran yang merupakan kawasan Ketua Menteri.
Menurut Bung Moktar, kerajaan negeri mengumumkan mempunyai simpanan kewangan yang banyak maka, kedudukan kewangan yang baik itu harus dimanfaatkan bagi memajukan dan meningkatkan ekonomi rakyat.
Selain menyediakan kemudahan prasarana, kerajaan harus membantu membangunkan rakyat melalui pelbagai insiatif dan bantuan yang boleh meningkatkan taraf siso ekonomi mereka.
Kata beliau, situasi di Sabah masih jauh ketinggalan walaupun dijanjikan dengan hala tuju SMJ namun, rakyat perlu sedar bahawa kerajaan hari ini gagal memacu proses pembangunan yang mampan.
Justeru, menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang, rakyat perlu bijak memilih kerajaan yang boleh menentukan masa depan mereka untuk melihat kemajuan dan kemakmuran di negeri ini. –UTUSAN










