Tiga individu jadi ejen tawar PLKS, eksploitasi wanita Indonesia ditahan - Utusan Malaysia

Tiga individu jadi ejen tawar PLKS, eksploitasi wanita Indonesia ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tiga individu bertindak sebagai ejen yang menawarkan khidmat pembantu rumah dengan bayaran sehingga RM20,000 termasuk menjanjikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ditahan semalam selepas disyaki terlibat eksploitasi wanita Indonesia.

Menerusi operasi kira-kira pukul 10.30 malam dijalankan sepasukan Unit Risikan Operasi, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu sebuah rumah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tiga ejen ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Empat wanita warga Indonesia berusia 31 hingga 51 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang telah diselamatkan.

“Hasil siasatan awal mendapati ejen ini aktif menjalankan aktiviti mengurus kemasukan, merekrut dan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah serta menempatkan mangsa di sebuah rumah dalam kawalannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ejen ini menawarkan khidmat pembantu rumah dengan bayaran sebanyak RM14,000 hingga RM20,000 termasuk menjanjikan PLKS yang dikatakan boleh diuruskannya.

Kata beliau, urusan dengan bakal majikan dibuat dengan menghantar gambar pendaftaran syarikat, gambar pembantu rumah dan pasport melalui aplikasi WhatsApp dan mengatur perjumpaan jika bakal majikan ingin meneruskan pengambilan pembantu rumah.

“Ini dilakukan bagi meyakinkan bakal majikan bahawa segala urus niaga tersebut adalah dibuat melalui cara yang sah oleh agensi pekerjaan berdaftar.

“Ejen ini telah menjalankan aktiviti sejak empat tahun lepas dan dipercayai boleh mengaut keuntungan dianggarkan antara RM80,000 hingga RM90,000 setahun,” jelasnya.

Tambah Ruslin, siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini