PETALING JAYA: Inisiatif tenaga solar Proton Tanjung Malim yang terdiri daripada kemudahan panel solar dwi muka tempat letak kereta terbesar di Malaysia memenangi tempat pertama dalam kategori tenaga boleh baharu dalam Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2023.
Anugerah tersebut dimenangi di bawah segmen atas grid (Grid Nasional).
Pengadaptasian tenaga hijau, yang dilancarkan dua tahun lalu telah membolehkan Proton bukan sahaja mencapai, tetapi melepasi matlamat awalnya yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, Proton sebagai pembuat kereta nasional telah menerajui dan membuktikan komitmennya untuk melindungi alam sekitar.
Katanya, Proton juga menggalakkan pengeluar automotif lain serta keseluruhan rantaian bekalan untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.
“Penganugerahan ini mengukuhkan komitmen kami untuk memacu syarikat ke hadapan dengan lebih banyak projek inisiatif hijau, sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
“Proton tidak berhenti setakat kejayaan ini, kami akan terus memperkasakan usaha kami dalam memajukan ekosistem pelaburan hijau,” katanya dalam kenyataan.
NEA yang mengiktiraf organisasi yang menggunakan konsep dan amalan tenaga mampan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada 8 Mac lalu.
Beliau berkata, sejak pelaksanaannya pada bulan Mei 2021 hingga bulan Jan 2024, panel solar dwi muka menjana tenaga langsung daripada cahaya matahari serta pantulan cahaya matahari bersama-sama dengan panel solar di atas bumbung kilang.
Katanya, tenaga tersebut telah mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 32,406 tan, iaitu lebih tinggi daripada ramalan sasaran awalnya sebanyak 11,536 tan setahun.
“Ini bersamaan dengan mengimbangi lebih kurang 893,000 pokok, yang seterusnya memberi manfaat besar kepada komuniti dan ekosistem di Tanjung Malim.
“Sehingga kini, penggunaan tenaga boleh diperbaharui telah menjana 45.78 GWj dan mengurangkan kos elektrik kemudahan sebanyak 11 peratus pada 2023 dengan penjimatan melebihi RM10 juta,” ujarnya.-UTUSAN










