IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan mengumumkan bantuan khas Aidilfitri buat penjawat awam, sekali gus mengekalkan tradisi tersebut sejak 10 tahun lalu.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pemberian bonus itu juga dapat menjana impak pusingan ekonomi negara apabila penjawat awam mampu berbelanja lebih bagi memberi manfaat kepada para peniaga.
“CUEPACS mohon kepada Perdana Menteri supaya mengekalkan tradisi sepanjang 10 tahun yang lalu iaitu memberi bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam menjelang setiap kali perayaan Aidilfitri.
“Kerajaan (Pusat) belum mengumumkan dan kami merayu supaya kerajaan mengumumkan dalam waktu yang terdekat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan bubur lambuk oleh Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (Auegcas) di sini semalam.
Adnan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pinang yang telah mengumumkan bantuan khas raya kepada penjawat awam masing-masing bagi tahun ini.
Beliau mengharapkan tindakan yang sama akan dibuat oleh kerajaan negeri yang lain, sekali gus memberi manfaat kepada kakitangan awam serta para peniaga apabila pekerja kerajaan mempunyai tambahan kuasa membeli.
Sementara itu, Adnan berkata, CUEPACS terbuka kepada penggantian sistem pencen penjawat awam, namun ia mestilah tidak mengurangkan faedah sedia ada.
Menurutnya, CUEPACS masih mempertahankan skim tetap dan berpencen sebagai yang terbaik untuk penjawat awam.
“Bukanlah satu isu kepada kepada CUEPACS, sebaliknya kami tetap mempertahankan perkataan tetap dan berpencen ini adalah terbaik untuk penjawat awam.
“Tetapi jika hendak membuat buat penambahbaikan, ia boleh dibuat penambahbaikan tetapi dalam konteks perkataan no less favorable atau tidak kurang faedah daripada apa yang kita ada pada hari ini.
“Kami terbuka, tetapi kami tutup jika ia kurang faedah daripada yang sedia ada pada hari ini,” katanya. – UTUSAN










